Lelaki Bangladesh buat kenyataan perkauman ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki Bangladesh buat kenyataan perkauman ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan seorang lelaki warga Bangladesh yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman di platform media sosial Tik Tok mengundang padah apabila dicekup polis di Jalan Kempas Batu 7 1/2, Jalan Bakri, Muar, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan pada pukul 7.30 petang ketika lelaki itu berada di tepi jalan.

Katanya, Polis Daerah Muar telah menerima satu laporan polis berkenaan video yang tular di media sosial oleh suspek yang mengeluarkan kenyataan agama Hindu, Muslim dan perayaan Deepavali.

“Tindakan lelaki warga asing itu boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu gugat keamanan awam. Pada hari sama, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar telah berjaya menangkap suspek terbabit di tepi jalan.

“Hasil siasatan mendapati permit suspek telah tamat tempoh dan telah tinggal lebih masa di negara  ini,” katanya pada sidang akhbar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Larkin, di sini hari ini. 

Semalam, tular video lelaki berkenaan yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman di media sosial Tik Tok.

Pemeriksaan lanjut di platform itu mendapati video itu tidak dapat dikesan dan dipercayai sudah dipadam.

Ayob Khan memberitahu, suspek ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali. 

Menurutnya, kes tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh didenda RM5,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, katanya, dia juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh didenda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Polis Johor menasihatkan semua masyarakat sama ada warga asing atau warga tempatan supaya menghormati perpaduan kaum di Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan agama, jangan bawa masuk budaya-budaya luar.

“Jika ada pekerja asing bawa fahaman asing untuk pecah belah keharmonian kaum, tindakan tegas akan dikenakan tanpa tolak ansur,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya