ALOR SETAR: Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kedah, Superintenden Chuah Seong Lim, 59, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang hari ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pegawai kanannya itu dilaporkan meninggal dunia kira-kira 8.55 pagi di Hospital Pantai, Pulau Pinang.
Katanya, mendiang baru selesai menjalani pembedahan jantung, semalam.
“Memang saya terkejut dengan pemergiannya pagi ini. Saya tak sangka kerana sebelum ini beliau kerap kali menghubungi dan meminta supaya semua pegawai dan anggota mendoakannya agar segera pulih selepas menjalani pembedahan itu.
“Mewakili seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah, saya menzahirkan ucapan takziah buat keluarga mendiang di atas pemergiannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, Chuah yang dikenalinya merupakan seorang pegawai yang baik dengan semua pegawai dan anggota tanpa mengira pangkat.
“Beliau kerap memberi nasihat serta ingatan para pegawai mahupun anggota. Dalam masa sama, mendiang juga tidak segan-silu untuk kembali merujuk kepada saya berkaitan hal tertentu yang dirasakan kurang jelas.
“Pemergian ini memang satu kehilangan besar buat kami di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah dan saya mengharapkan agar keluarga mendiang tabah dan bersabar dengan pemergiannya,” katanya. -UTUSAN ONLINE