Hartal Doktor Kontrak isytihar tunjuk perasaan kali kedua - Utusan Malaysia

Hartal Doktor Kontrak isytihar tunjuk perasaan kali kedua

Gerakan Hartal Doktor pernah mengadakan mogok pada 26 Julai lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gerakan Hartal Doktor Kontrak akan memulakan siri mogok kedua di seluruh negara akibat masalah lantikan tetap mereka ke dalam Kementerian Kesihatan masih belum selesai.

Rancangan tunjuk perasaan itu pula hadir selepas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2022 baru-baru ini yang memberi tawaran sedia ada kepada mereka namun tidak menyebut mengenai lantikan tetap ke dalam kerajaan.

Hartal Doktor Kontrak dalam satu kenyataan tengah malam ini berkata, siri mogok berkenaan akan dilaksanakan sebagai tanda bantahan terhadap kerajaan namun belum dipastikan bilakah rancangan itu akan bermula.

“Bajet 2022 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan langsung tidak menyelesaikan masalah doktor kontrak. Isu doktor kontrak dan masalah sistem kesihatan kita, yang akan menggadaikan masa depan kesihatan rakyat, rupanya tidak dipandang serius.

“Kami merasakan tiada langkah tanggungjawab penuh diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini. Tawaran yang diberikan tidak masuk dan hanyalah langkah membuang masa.

“Kementerian Kesihatan juga langsung tidak memberikan bantahan kepada Kementerian Kewangan berkenaan isu ini bagi membela hak doktor kontrak.

“Lima tahun dalam perbincangan, masih tiada penyelesaian. Janji lantikan tetap dengan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang sering diuar-uarkan hanyalah umpan supaya kami berhenti bersuara. Setelah dua tahun doktor-doktor kontrak berhempas pulas melawan Covid-19, pengorbanan mereka tetap tidak dihargai,” katanya malam ini.

Dalam pembentangan Bajet 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lalu, kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan sejumlah RM100 juta yang bakal memberi manfaat kepada 3,000 pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak.

Kerajaan juga bersetuju menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan perubatan, pergigian dan farmasi selepas tempoh khidmat wajib selama dua tahun.

Bagaimanapun, pengumuman itu belum menjawab persoalan dan penantian semua doktor kontrak mengenai pelantikan mereka secara tetap dalam kerajaan melalui sistem yang lebih telus seperti dilaporkan sebelum ini.

Utusan Malaysia pada Ahad lalu melaporkan, jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Syahidul Ammar Said, merujuk sumbernya mendakwa, Kementerian Kewangan menolak usul Kementerian Kesihatan kerana lantikan doktor kontrak bukan keutamaan.

Hal itu walaupun selepas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sudah berusaha berunding dengan pihak terlibat untuk menyerap sekurang-kurangnya doktor kontrak lantikan tahun 2017 dan 2018 namun tetap ditolak.

Khairy pada 23 September lalu pula dilaporkan akan mengumumkan sistem baharu dengan penilaian lebih baik dan telus untuk pegawai perubatan lantikan kontrak dalam tempoh dua minggu lagi namun sehingga hari ini masih belum keputusan muktamad mengenai.

Gerakan Hartal Doktor di seluruh negara sebelum ini terpaksa mengambil tindakan drastik untuk tidak bekerja pada 26 Julai lalu akibat kegagalan kerajaan memenuhi tuntutan menawarkan pelantikan tetap kepada semua doktor kontrak sedia ada selain menjelaskan kriteria lantikan tetap secara terperinci. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.