Dua PATI positif Covid-19 cuba masuk negara melalui jalan tikus - Utusan Malaysia

Dua PATI positif Covid-19 cuba masuk negara melalui jalan tikus

PATI warganegara Indonesia yang berjaya diberkas Tentera Darat Malaysia di perairan utara Tenggaroh, Mersing di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Seramai dua daripada 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia yang berjaya diberkas Tentera Darat Malaysia (TDM) pagi tadi didapati positif Covid-19 ketika cuba memasuki negara ini melalui jalan tikus.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan memberitahu, anggota petugas pemerhati telah mengesan bunyi bot yang mencurigakan kira-kira pukul 1 pagi di perairan utara Tenggaroh.

“Atas maklumat tersebut, anggota petugas telah membuat serbuan dan sekitar pukul 1.30 pagi, seramai 39 PATI berjaya ditahan. 26 daripadanya dipercayai baru saja tiba dan selebihnya iaitu 13 PATI sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal.

“Pada pukul 8.45 pagi, anggota Quick Reaction Force (QRF) yang ditugaskan untuk membuat penjejakan berjaya menangkap enam lagi PATI sedang bersembunyi di kawasan Ladang Sawit Tenggaroh Timur tidak jauh dari lokasi tangkapan pertama.

“Mereka dipercayai saki baki PATI yang baru tiba ke negara ini. Kesemua 45 PATI tersebut terdiri daripada 36 lelaki dan sembilan wanita warga Indonesia berusia sekitar 19 hingga 46 tahun,” katanya di sini hari ini.

Katanya, semua mereka telah diarahkan membuat ujian saringan Covid-19 di Pos Tanjung Sepang dan hasil ujian mendapati dua daripadanya positif Covid-19.

Menurutnya, pihak Kementerian Kesihatan akan menguruskan dua PATI tersebut mengikut prosedur sehingga diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

Tambah kenyataan itu, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM10,000 melibatkan RM4,174, matawang Rupiah Indonesia IDR5,455,300 (RM1,590) bersama-sama lapan buah telefon bimbit serta jam tangan pelbagai jenama.

Sementara itu, baki PATI lain yang negatif selepas menjalani ujian saringan tersebut diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru.

Laporan kejadian tersebut pula telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

“Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI sekitar kawasan tangkapan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya