fbpx

Bapa maut, tiga anak cedera

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki maut manakala tiga anaknya cedera selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan dari arah bertentangan yang turut melibatkan tiga buah motosikal dalam kemalangan di Jalan Limbongan berdekatan kedai Keria Antarabangsa, tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supretenden Raiz Mukhlis berkata, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai Abdul Rahim Mohamad, 53, manakala tiga anaknya yang cedera ialah Sofia Umairah, 11, retak siku kanan, Wardah, 20, pula mengalami kecederaan di kepala dan  Nurul A’liah, 13, patah kaki kanan.

Menurutnya, semua anak mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapat rawatan lanjut.

Seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Lee Han Wee, 42, yang juga pemandu kereta Nissan Teana pula patah kaki kanan.

“Berdasarkan siasatan, kejadian berlaku pada 12.37 apabila kenderaan yang dipandu oleh Han Wee dari arah Limbongan menuju ke Klebang dipercayai hilang kawalan terbabas ke arah bertentangan dan bertembung dengan Proton Wira yang dipandu oleh Abdul Rahim yang datang dari arah Klebang.

“Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa berpusing sekali hingga melanggar tiga daripada enam remaja yang menaiki motosikal ketika itu. 

“Seorang penunggang motosikal cedera telah dikejarkan ke Hospital Melaka manakala dua lagi mengalami luka ringan,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Raiz, mayat mangsa telah ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk tujuan bedah siasat manakala kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

Difahamkan mangsa yang maut merupakan pekerja Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Lorong Pandan selepas mengambil anaknya Wardah yang bekerja di sebuah restoran Teko di Klebang.

Sementara itu, salah seorang penunggang motosikal yang cedera Muhammad Amirul Aiqal Omar, 17, berkata,  kereta yang datang dari arah Limbongan dipercayai dipandu sangat laju hingga hilang kawalan di satu selekoh lalu bertembung dengan kenderaan dipandu Abdul Rahim.

Sementara itu Pegawai Bomba Kanan 2 daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Abdul Rahim Ismail ketika ditemui di tempat kejadian berkata, sepuluh anggota membabitkan sebuah jentera, dua unit motosikal dan sebuah jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) telah dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, pihaknya menerima panggil kecemasan kira-kira pukul 12.37 tengah malam dan mengambil masa tujuh minit sampai di tempat kejadian.

“Anggota bomba mengambil masa 23 minit sebelum dapat mengeluarkan mangsa tersepit di tempat pemandu dan  disahkan telah meninggal dunia,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI