PUTRAJAYA: Peruntukan Bajet 2022 bagi kaum Cina dan India adalah jauh lebih tinggi iaitu sebanyak RM345 juta berbanding diperuntukkan semasa Bajet 2020 semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) berjumlah RM305 juta.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, adalah tidak munasabah jika pemimpin-pemimpin PH seperti Lim Guan Eng, Dr. P Ramasamy, Wong Chen dan Dr. Muhammed Abdul Khalid mengkritik peruntukan Bajet 2022 dengan mendakwa kononnya kerajaan meminggirkan kaum Cina dan India.
Beliau berkata, memang betul bantuan khusus kepada kaum Cina dalam Bajet 2022 ialah RM200 juta iaitu ‘untuk melaksanakan program baik pulih rumah dan kemajuan kampung baru, akses pembiayaan bagi penduduk kampung baru dan Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana.
Katanya, bantuan khusus kepada kaum India dalam Bajet 2022 pula ialah RM145 juta iaitu untuk melaksanakan program memperkasa sosioekonomi komuniti India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India dan dana pembiayaan di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh TEKUN.
“Begitupun, sebelum menghentam peruntukan bantuan khusus RM345 juta kepada kaum Cina dan India ini sebagai terlalu kecil, perlulah diteliti balik berapakah pula peruntukan bantuan khusus kepada kaum Cina dan India yang terkandung di dalam Bajet 2020 yang dibentangkan Lim Guan Eng sewaktu PH memerintah dahulu.
“Tidakkah peruntukan bantuan khusus kepada kaum Cina dan India dalam Bajet 2020 hanyalah sekadar RM305 juta sahaja meliputi RM185 juta bantuan khusus kepada kaum Cina dan RM120 juta bantuan khusus kepada kaum India sahaja?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Kamarul Zaman berkata, jika pemimpin-pemimpin PH sudah lupa, mereka boleh rujuk semula pengumuman Guan Eng mengenai bantuan khusus kepada kaum Cina dalam Bajet 2020.
Katanya, memetik teks ucapan Bajet 2020, “Pentadbiran PH menyediakan pinjaman sebanyak RM100 juta di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil Komoditi Cina. Pembiayaan ini akan diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional yang mempunyai lebih 380 cawangan di seluruh negara dengan kadar faedah empat peratus setahun.”
Selain itu, “Bagi menyokong pembangunan dan pembaikan meliputi infrastruktur asas di Kampung-Kampung Baru, kerajaan akan menyediakan RM85 juta pada tahun 2020.”
Pengumuman Guan Eng mengenai bantuan khusus kepada kaum India dalam Bajet 2020 ini pula meliputi:
“Bagi usahawan etnik India, kerajaan akan menyediakan pinjaman sebanyak RM20 juta di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India, TEKUN Nasional yang dijangka memberi manfaat kepada 1,300 usahawan India juga dengan kadar faedah empat peratus setahun.”
“Kerajaan peka dan prihatin terhadap kesukaran dan cabaran khusus yang dihadapi oleh masyarakat India. Oleh itu, kerajaan sekali lagi akan memperuntukkan geran sebanyak RM100 juta kepada Unit Transformasi India Malaysia (MITRA) di mana 80 peratus dikhususkan kepada program yang dilaksanakan dan bukannya kepada organisasi tertentu. Ia bertujuan menambah baik keadaan sosioekonomi, kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan wanita serta pembangunan kemahiran masyarakat India.”
Justeru, Kamarul Zaman mempersoalkan, mana lebih besar jumlah peruntukan bantuan khusus RM345 juta kepada kaum Cina dan kaum India yang diberikan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Bajet 2022 berbanding jumlah peruntukan bantuan khusus RM305 juta kepada kaum Cina dan India yang diberikan Guan Eng dalam Bajet 2020?
“Jika mereka berpendapat bahawa peruntukan bantuan khusus RM345 juta kepada kaum Cina dan India yang diberikan Tengku Zafrul dalam Bajet 2022 adalah terlalu kecil, mengapakah sewaktu PH memerintah dahulu mereka sendiri tidak mengusahakan supaya peruntukan bantuan khusus kepada kaum Cina dan kaum India dibesarkan?” soalnya. -UTUSAN ONLINE










