Keabsahan Sidang DUN Negeri Sembilan tidak terjejas tanpa kehadiran pembesar negeri

Keabsahan Sidang DUN Negeri Sembilan tidak terjejas tanpa kehadiran pembesar negeri

TUANKU Muhriz Tuanku Munawir bertitah pada Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, keabsahan mahupun kelancaran perjalanan Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 hari ini tidak terjejas tanpa kehadiran pembesar negeri.

“Walaupun dengan ketidakhadiran pembesar negeri yang lazimnya mengiring beta pada setiap perasmian persidangan negeri, keadaan ini tidak menjejaskan keabsahan mahupun kelancaran persidangan ini,” titah Tuanku Muhriz hari ini.

Baginda diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Tuanku Muhriz bertitah, pentadbiran kerajaan negeri wajar diteruskan dan berfungsi seperti biasa demi memastikan kelangsungan tadbir urus yang teratur serta kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.

“Beta berdoa kepada Allah agar negeri dan rakyat beta terus diberikan kesejahteraan dan hidup dalam suasana harmoni melalui Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama barisan exco kerajaan negeri,” titah baginda.

Tidak seperti kelaziman, pembukaan Sidang DUN Negeri Sembilan kali ini berlangsung tanpa kehadiran Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

Sementara itu, Yang Dipertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman berkata, persidangan penggal kali ini akan ditangguhkan sementara sehingga mendapat tarikh yang sesuai.

“Perasmian hari ini masih cukup syarat kerana perasmian ini hanya titah tuanku sahaja. Kerajaan negeri akan memberikan satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan nanti,” katanya.

Terdahulu, lebih 30 orang berhimpun hadapan Istana Hinggap dan Wisma Negeri di sini hari ini bagi menyatakan taat setia kepada Tuanku Muhriz dan sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai Sekretariat Sokongan dan Taat Setia kepada Yang di-Pertuan Besar dan Menteri Besar berkumpul di Istana Hinggap sejak pukul 9 pagi.

Ketua sekretariat, Prof. Dr. Mohd. Aluwi Sari berkata, kumpulan itu disertai anak waris dan ibu soko dari semua luak di negeri ini.

Pada mulanya, katanya, kumpulan itu telah menyerahkan memorandum menyatakan sokongan dan taat kepada Tuanku Muhriz melalui Tunku Kecil Muda, Tunku Datuk Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin.

“Kami kemudian bergerak ke pintu masuk Wisma Negeri untuk menyerahkan memorandum yang sama kepada Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya kepada para pemberita di hadapan Wisma Negeri.

Memorandum itu diterima oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Md. Shah.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN