SHAH ALAM: Sebanyak 1,453 ekor gagak berjaya ditembak dalam Operasi Menembak Gagak (OMG) di sekitar bandar raya ini semalam.
Operasi berkenaan dilakukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selepas menerima aduan orang ramai mengenai lambakan burung spesis Corvus Brachyrhynchos itu yang menyebabkan najis haiwan berkenaan mencemarkan kawasan rumah dan kemudahan awam.
Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, Operasi Menembak Gagak (OMG) berlangsung seharian bermula pukul 6.30 pagi sehingga 9.00 malam tadi.
“Operasi ini diadakan bagi mengurangkan populasi gagak yang boleh menyebabkan kacau ganggu awam. Seramai 10 orang penembak telah mengambil bahagian dan berjaya menembak 1,453 ekor burung gagak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shahrin berkata, OMG yang diadakan ini merupakan inisiatif pihak MBSA untuk mengurangkan jumlah populasi burung gagak di kawasan pentadbiran MBSA.
Katanya lagi,tabiat burung gagak yang menyelongkar tong sampah serta kawasan pembuangan sampah untuk mencari punca makanan menyebabkan pencemaran dan kacau ganggu serta menimbulkan rungutan kepada orang ramai.
“Lokasi yang terlibat dalam operasi menembak gagak ini adalah di seluruh kawasan pentadbiran MBSA.
“Pihak MBSA juga berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama untuk menjaga kebersihan terutamanya dari aspek pembuangan dan pengurusan sampah untuk mengelakkan populasi burung gagak kembali bertambah,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE