William Shatner jadi individu tertua bakal ke angkasa lepas - Utusan Malaysia

William Shatner jadi individu tertua bakal ke angkasa lepas

WILLIAM Shatner menghadiri New York Comic Con 2021 di bandar New York. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pelakon siri filem sains fiksyen Star Trek, William Shatner akan berlepas ke angkasa lepas esok, selepas penerbangan asalnya pada hari ini terpaksa ditangguhkan susulan keadaan berangin.

Lapor Daily Mail, ikon Star Trek berusia 90 tahun itu akan mengembara ke angkasa lepas menerusi roket milik Blue Origin pada 13 Oktober dari Van Horn di Texas pada pukul 8.30 pagi (waktu tempatan).

“Berdasarkan ramalan keadaan angin hari ini, pasukan misi Blue Origin memutuskan untuk menangguhkan pelancaran NS-18 dan menyasarkan pada Rabu 13 Oktober,” kata seorang jurucakap dari Blue Origin.

Shatner yang memainkan watak ‘Kapten Kirk’ dalam siri filem sains fiksyen itu, bakal menjadi kru pelakon Star Trek pertama yang mengembara ke angkasa lepas sebagai tetamu di roket suborbital milik syarikat hartawan Jeff Bezos.

Perjalanan itu akan membawa Shatner bersama tiga lagi kru roket NS-18, melepasi garisan Karman iaitu sempadan diiktiraf antarabangsa sebagai tanda permulaan

ruang angkasa lepas yang terletak 100 kilometer di atas permukaan bumi.

Mereka juga akan mengalami pengalaman ‘terapung’ selama empat minit selain menikmati pemandangan bumi.

Keputusan Blue Origin untuk membawa seorang watak paling dikenali dalam Star Trek untuk penerbangan kedua syarikat itu ke angkasa lepas menerima sambutan menggalakkan dalam sektor pelancongan angkasa lepas.

Minggu lalu, pelakon kelahiran Kanada itu berkongsi kegembiraannya dengan para hadirin di New York Comic Con mengenai misi pengembaraan ke angkasa lepas.

Shatner juga berkongsi perbualannya bersama Bezos yang mana beliau dimaklumkan akan menjadi individu paling tua bakal mengembara ke angkasa lepas.

Beliau akan memecahkan rekod dicatatkan oleh angkasawan berusia 82 tahun, Wally Funk yang menyertai penerbangan pertama Blue Origin ke angkasa lepas pada Julai lalu. – AGENSI   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN