Sudah sampai masanya kita angkat wira negara

Sudah sampai masanya kita angkat wira negara

USAHA memperkenalkan gelaran Pahlawan Nasional Tanah Air mencerminkan keperibadian bangsa yang menghormati jasa, menyemai nilai dan membina maruah. –GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Bangsa yang besar bukan sekadar membina pencakar langit tetapi mengangkat dan mengenang insan-insan luar biasa yang telah mengukir tamadunnya dengan darah, keringat, ilmu, dan pengorbanan.”

Malaysia sebuah negara kaya dengan sejarah, namun masih belum memiliki satu bentuk pengiktirafan rasmi dan menyeluruh terhadap tokoh-tokoh besar tanah air yang menyumbang kepada pembinaan bangsa serta negara.

Negara-negara lain seperti Indonesia, Britain, Amerika Syarikat (AS) dan India sudah lama mendahului kita dalam hal ini. Mereka menubuhkan sistem penghormatan kebangsaan seperti gelaran Pahlawan Nasional (Indonesia), The 100 Greatest Britons (United Kingdom,UK), The Greatest Americans (AS) dan The Greatest Indians (India) sebagai manifestasi penghargaan terhadap jasa dan sumbangan tokoh-tokoh mereka.

Malaysia pula masih bergantung pada anugerah-anugerah sektor tertentu seperti Tokoh Maal Hijrah, Anugerah Akademik Negara dan pingat kebesaran, yang kebanyakannya tidak dikodifikasikan secara sistematik dalam satu mekanisme negara.

Justeru, sudah tiba masanya negara ini melangkah dengan berani dan yakin untuk memperkenalkan satu sistem pengiktirafan tertinggi negara dengan gelaran Pahlawan Nasional Tanah Air, sebagai penghormatan kepada mereka yang membina asas Malaysia dengan jiwa dan raga, tanpa meminta balasan.

Pengiktirafan rasmi terhadap tokoh-tokoh besar tanah air bukan sekadar simbolik atau bersifat retorik, sebaliknya ia adalah strategi kebangsaan untuk memupuk jati diri, membina kesedaran sejarah dan memperkukuh semangat patriotisme rakyat pelbagai kaum. Ia mengiktiraf sumbangan luar biasa individu yang menjayakan agenda nasional sama ada dalam bidang perjuangan kemerdekaan, keselamatan, pemikiran, undang-undang, bahasa, kesihatan, seni, pendidikan, kemanusiaan, alam sekitar mahupun kepimpinan rohani.

Bayangkan jika nama-nama seperti Tun Perak, Hang Tuah, Kanang Anak Langkau, Mat Kilau, Leftenan Adnan Saidi, Tok Janggut, Za’ba, Syed Sheikh Al-Hadi, Abdus Samad al-Falimbani, Tok Kenali, Tun V.T. Sambanthan, Tan Sri P. Ramlee, Profesor Diraja Ungku Aziz, Tan Sri Tan Chee Khoon dan Tun Dr. Mahathir Mohamad dipelajari secara formal di sekolah, didokumentasi dalam buku teks, diangkat dalam pameran tahunan serta dirayakan dalam sambutan kebangsaan. Sudah pasti hal ini dapat memupuk pemahaman bersama, memperkukuh nilai kebangsaan dan menyemai identiti nasional yang utuh serta harmoni.

SIAPA LAYAK?

Pengiktirafan ini tidak wajar dihadkan kepada latar politik, kaum, agama atau geografi. Ia mesti merangkumi semua tokoh yang terbukti menyumbang secara luar biasa kepada negara. Antara kategori yang boleh dipertimbangkan:

• Pejuang kemerdekaan – seperti Tok Janggut, Mat Salleh, Rosli Dhobi, Tun V.T. Sambanthan, Ahmad Boestamam.
• Cendekiawan bahasa dan pemikir – seperti Za’ba, Syed Sheikh al-Hadi, Prof. Tan Sri Khoo Kay Kim.
•Pendidik dan ahli undang-undang – seperti Aminuddin Baki, Prof. Ahmad Mohamed Ibrahim.
•Tokoh kesihatan dan kemanusiaan – seperti Dr. Wu Lien-Teh, Tan Sri Jemilah Mahmood, S.M. Mohamed Idris.
•Ulama dan pemimpin rohani – seperti Tok Kenali, Abdus Samad al-Falimbani, Datuk Fadzil Noor.

Kategori juga boleh dibahagikan kepada dua:
– Anumerta – Tokoh yang meninggal dunia tetapi jasanya kekal hidup dalam sejarah.
– Semasa hidup (honorari) – Tokoh yang masih aktif menyumbang secara signifikan kepada negara.

SISTEM

Untuk memastikan pengiktirafan ini telus, sah, dan berwibawa, Akta Pahlawan Nasional Tanah Air perlu digubal di Parlimen. Akta ini akan menetapkan struktur perundangan, takrifan, proses pencalonan, kriteria dan syarat penilaian serta kuasa penganugerahan.

Suruhanjaya Pahlawan Nasional Tanah Air dicadangkan penubuhannya sebagai badan bebas di bawah Parlimen atau Majlis Raja-Raja untuk menjalankan penilaian secara objektif dan bebas daripada pengaruh politik. Badan ini perlu terdiri daripada ahli sejarah, ilmuan, wakil masyarakat sivil dan sektor pendidikan.

Satu Indeks Prestasi Pahlawan boleh dibangunkan untuk menilai sumbangan berdasarkan lima indikator utama iaitu ilmu, integriti, keadilan, khidmat masyarakat, nilai kebangsaan dan legasi sejarah.

Untuk menyokong ketelusan dan pendidikan awam, satu portal rasmi pahlawan.my boleh diwujudkan sebagai pangkalan data sejarah, dokumentasi pencalonan dan platform pencalonan terbuka rakyat. Kemuncaknya, sambutan tahunan Hari Pahlawan Nasional Malaysia boleh dianjurkan sebagai acara nasional untuk memperingati dan meraikan para tokoh unggul tanah air.

FAEDAH

– Pendidikan sejarah holistik
Generasi muda akan mengenali pahlawan sebenar yang menyumbang kepada negara, bukan hanya idola popular atau selebriti maya.

– Pemupukan patriotisme tulus
Cinta negara terbina di atas penghargaan terhadap pengorbanan sebenar, bukan sekadar slogan atau iklan semusim.

– Pengukuhan identiti nasional
Naratif sejarah yang inklusif melibatkan semua kaum dan wilayah akan membentuk kesatuan hati rakyat.

– Penebusan sejarah
Memberi keadilan kepada tokoh-tokoh yang pernah dipinggirkan oleh politik, ideologi atau pengabaian sejarah menjadi wira tidak didendang.

– Pembangunan naratif tempatan
Sejarah Malaysia dibina berdasarkan nilai, budaya dan aspirasi rakyat sendiri, bukan sekadar dari lensa kolonial atau luar.

BANGSA YANG BIJAK TIDAK AKAN MELUPAKAN

Bangsa yang bijaksana ialah bangsa yang menulis semula sejarahnya dengan jujur, adil dan berani. Usaha memperkenalkan gelaran Pahlawan Nasional Tanah Air bukan sekadar penghargaan, tetapi cerminan keperibadian bangsa yang menghormati jasa, menyemai nilai dan membina maruah.

Ini bukan soal populariti, tetapi soal prinsip dan tanggungjawab warisan. Seperti kata hikmah, “Pahlawan tidak meminta dipuja, tetapi bangsa yang bijak tidak akan membiarkan mereka dilupakan.” Maka marilah kita mulakan langkah ini dengan niat yang tulus, dasar yang teguh dan semangat kebangsaan yang membara sempena menyambut Hari Kemerdekaan tidak lama lagi.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Nuarrual Hilal Md Dahlan ialah pensyarah di Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan exco Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN