PUTRAJAYA: Sebanyak 81 syarikat majoriti bumiputera menyertai Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan nilai sebanyak RM320 juta sehingga 31 Ogos lalu merangkumi 43 kontraktor, dua firma perunding serta 36 vendor dan pembekal.
Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan menyebut, jumlah penyertaan itu mencatatkan 10.67 peratus daripada keseluruhan nilai penyertaan bumiputera yang dirancang iaitu sebanyak RM3 bilion.
Katanya, fakta ini harus dilihat dalam konteks kemajuan projek bernilai RM50.3 bilion tersebut seperti yang dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong di Parlimen semalam, yang pada masa ini berada pada kadar 23.96 peratus setakat 31 Ogos lalu.
“Sebanyak 81 syarikat bumiputera ini berjaya melepasi latihan pra-kelayakan yang dilakukan pada tahun 2017 dan 2019 serta memperoleh kontrak mereka secara kompetitif melalui tawaran dengan kontraktor utama Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC).
“Secara keseluruhan, jumlah penyertaan kontraktor tempatan bagi projek ECRL mempunyai nilai sebanyak RM4.59 bilion dari jumlah yang dirancang sebanyak RM10 bilion (45.9 peratus) dengan 1,368 syarikat mengambil bahagian,” katanya hari ini.
Kenyataan itu menyebut, berdasarkan penjelasan ini adalah bagi menjawab persoalan beberapa laporan berita yang memfokuskan pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman mengenai penyertaan kontraktor bumiputera dalam ECRL semasa isu itu dibangkitkan Ahli Parlimen Dungun di Dewan Rakyat, Selasa lalu.
“Adalah kurang tepat untuk mengatakan ‘tidak wujud’ penyertaan kontraktor bumiputera dalam projek ECRL ini,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, kenyataan itu menyebut, malah, Perjanjian Tambahan (SA) No. 6, kadar peratusan efektif penyertaan syarikat bumiputera dalam projek ECRL juga akan dinaikkan dari 30 peratus kepada 32.9 peratus.
Katanya, ini menunjukkan komitmen kontraktor utama EPCC untuk meningkatkan peratusan penyertaan kontraktor bumiputera dan tempatan dalam projek mega ECRL.
“Ia juga hasil daripada penubuhan Jawatankuasa Khas Penyertaan Kontraktor Tempatan dan Bumiputera di dalam Projek ECRL pada Oktober 2020 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan untuk memastikan penyertaan warga tempatan dan Bumiputera dalam projek ECRL.
“Secara keseluruhan, Kementerian Pengangkutan komited untuk mempertingkat dan mengembangkan keupayaan syarikat tempatan agar mereka dapat turut bersaing dalam projek-projek mega seperti ECRL yang menjadi pemangkin pertumbuhan masa depan negara,” katanya. -UTUSAN ONLINE