‘Umum Ketua Pembangkang bukan keperluan mendesak ketika ini'

‘Umum Ketua Pembangkang bukan keperluan mendesak ketika ini’

MOHD. AMAR NIK ABDULLAH 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pelantikan Ketua Pembangkang mewakili Perikatan Nasional (PN) belum dianggap keperluan mendesak walaupun calon mengisi posisi penting itu sudah dikenal pasti.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kelewatan itu bukan kerana ketiadaan tokoh sesuai sebaliknya mengambil kira faktor masa memandangkan Parlimen baru sahaja selesai bersidang.

“Calon memang sudah ada. Kita cuma belum umumkan lagi sebab Parlimen baru habis bersidang dan masih lama termpoh sebelum sidang seterusnya. 

“Jadi perkara itu belum mendesak,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Konsortium E-Mutiara Berhad di sini, hari ini.

Mohd. Amar berkata, beberapa nama berada dalam senarai pertimbangan akhir dan keputusan muktamad hanya menunggu masa sebelum diumumkan secara rasmi.

Katanya, proses itu masih berjalan dan belum dimuktamadkan.

Terdahulu, pelantikan Ketua Pembangkang baharu PN dijangka diketahui sebelum sidang Parlimen Jun ini.

​Ahli Jawatankuasa Pas, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, barisan kepemimpinan tertinggi PN bersama ahli Parlimen gabungan itu ketika ini masih berbincang mengenai pemilihan Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN