Tiada bukti wang digunakan untuk kerja kebajikan - Utusan Malaysia

Tiada bukti wang digunakan untuk kerja kebajikan

Ahmad Zahid Hamidi menghadiri prosiding hujahan akhir bagi perbicaraan kes beliau yang berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu tiada sebarang bukti yang menunjukkan cek-cek yang diterima oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan dikatakan sebagai wang derma, digunakan untuk tujuan kebajikan.

Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong juga dalam hujahannya menyatakan, tiada sebarang bukti menunjukkan `cek derma’ itu telah didepositkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi atau Yayasan Al Falah.

Sebaliknya semua cek itu diberikan kepada firma guaman, Tetuan Lewis & Co yang kemudiannya memasukkan wang tersebut ke dalam akaun semasa bagi kegunaan Presiden UMNO itu.

“Berdasarkan bukti dikemukakan, mahkamah boleh melihat satu corak yang sama. Semua mengatakan ia adalah derma tetapi cara mereka melakukannya tidak seperti memberikan derma. Tindakan mereka tidak selari dengan yang dikatakan. Inferens yang boleh dibuat ialah, kesemua wang tersebut merupakan hasil daripada kegiatan haram,” katanya.

Tambahnya, walaupun terdapat keterangan saksi yang menyatakan mereka memberikan wang sumbangan untuk disalurkan ke sebuah sekolah agama di Melaka dan kerja-kerja kebajikan lain, bukti menunjukkan sumbangan itu telah dimasukkan ke dalam akaun semasa sebelum digunakan untuk membeli dua buah banglo dan juga saham di sebuah firma pengurusan hotel.

Harriz Ong berhujah demikian ketika membuat hujahan semula di akhir kes pendakwaan Ahmad Zahid, 69, yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Pada prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan mengemukakan bukti sebanyak RM5.9 juta telah digunakan untuk membeli dua buah rumah banglo di Country Heights, Kajang.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Fazli Zulkifli ketika memberi keterangan pula memberitahu mahkamah, berdasarkan siasatannya, terdapat beberapa saksi yang mengatakan anak kepada Ahmad Zahid iaitu Nurulhidayah berminat untuk melabur dalam Ri-Yaz Assets Sdn. Bhd.

Sejumlah RM8.6 juta dibayar kepada Ri-Yaz sebagai deposit untuk pembelian 60 peratus saham dimiliki oleh pengarah ketika itu, Abdul Rashid Abdul Manan.

Bagaimanapun, cubaan untuk mendapatkan saham tersebut pada 2017 gagal dan Nurulhidayah kemudian menuntut supaya deposit sebanyak RM8.6 juta itu dikembalikan.

Jelas Harris, walaupun pihak pembelaan telah menunjukkan senarai kerja-kerja kebajikan, gambar-gambar sekolah agama dan masjid yang dalam pembinaan yang dikatakan kerja-kerja kebajikan yang dilakukan oleh Ahmad Zahid namun satu faktor utama perlu diambil kira.

“Pihak pembelaan gagal membantu Mahkamah dalam membuat keputusan apabila tidak menunjukkan sebarang dokumen berkaitan atau penyata akaun yang menunjukkan aktiviti kebajikan tertuduh.

“Sebaliknya terdapat bukti menunjukkan kerja-kerja ubahsuai salah sebuah banglo yang dibeli yang turut menempatkan surau, dewan solat dan bilik mesyuarat hanya dilakukan selepas SPRM memulakan siasatan,”kata Harris.

Hujahan di akhir kes pendakwaan bersambung Isnin ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×