PETALING JAYA : Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat yang dikaitkan dengan projek sistem uCustoms ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi.
Lelaki berusia 56 tahun itu selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk membantu siasatan.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, suspek berkenaan ditahan selepas dikesan telah membuat bayaran tertentu dalam sebuah agensi kerajaan melibatkan projek berkenaan.
Kata sumber itu, siasatan lanjut sedang dijalankan dan tidak menolak kemungkinan beberapa individu di dalam agensi terlibat turut akan dipanggil.
“Masih terlalu awal sama ada terdapat individu lain akan ditahan atau tidak memandangkan siasatan ini baru sahaja bermula,” katanya di sini.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan penahanan itu.
Terdahulu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) adalah antara yang akan dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menjelaskan mengenai kegagalan menyiapkan sistem uCustoms bernilai RM397.43 juta, sehingga kini.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, setakat ini, kerajaan sudah membayar sejumlah RM272.99 juta bagi projek yang dimulakan pada Oktober 2013 dan diberi pelanjutan sehingga lima kali.
LKAN 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, baru-baru ini mendedahkan, sistem uCustoms oleh JKDM bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) gagal disiapkan dalam tempoh 86 bulan walaupun lima lanjutan tempoh masa (EOT) diberikan.
Menurut laporan audit itu, sejumlah RM272.99 juta dibayar kepada pembekal dan Pejabat Pengurusan Projek, manakala hanya satu Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah RM55,660 dikenakan. -UTUSAN ONLINE










