PRN Johor: KDN kaji langkah mudahkan rentas sempadan untuk mengundi - Utusan Malaysia

PRN Johor: KDN kaji langkah mudahkan rentas sempadan untuk mengundi

SAIFUDDIN NASUTION Ismail beramah mesra dengan penuntut pada Program Citra Menteri Dalam Negeri: Sekolah Selamat yang diadakan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti keperluan memudahkan akses rentas sempadan di Tambak Johor dan LinKedua bagi memastikan pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dapat menunaikan tanggungjawab dengan lancar dan selamat.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah susulan akan ditentukan dan diumum selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman rasmi berkenaan tarikh-tarikh penting PRN ini pada 12 Jun.

“SPR akan adakan mesyuarat pada 12 Jun ini, nanti pada hari itu biasanya akan berakhir dengan hebahan media. Kami di KDN dan agensi berkaitan akan respon sama ada hari mengundi pada Sabtu atau Ahad, kerana akan ada kesan berbeza.

“Kalau PRN pada Ahad, maka isu tidak timbul kerana rakyat Singapura yang ramai masuk ke sini berbanding rakyat kita bekerja ke sana. Tetapi kalau hari Sabtu, ada juga yang bekerja.

“Jadi kita akan lihat apa langkah yang boleh diambil untuk membantu memudahkan pergerakan keluar masuk orang ramai agar pengundi PRN Johor dapat mengambil bahagian dalam proses demokrasi, kami akan bantu sedaya upaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Citra Menteri Dalam Negeri: Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad.

Sementara itu, mengulas tentang calon-calon Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding pada PRN Johor, Saifuddin Nasution yang juga Naib Presiden PKR berkata, keputusan akhir akan dimuktamadkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas tamat lawatan kerja rasminya ke Jepun.

“Di peringkat PKR, kami sudah mulakan proses tersebut, kita sedang lakukan tapisan setelah menerima senarai nama daripada cabang-cabang di negeri ini. Senarai nama itu akan menjadi asas kepada pemilihan calon kita.

“Biasanya ia tidak ambil masa terlalu lama, apa yang penting calon itu individu dikenali, mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dan bersedia memberikan komitmen dan ketaatan kepada parti,” katanya.

Pada 1 Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN Johor ke-16 dalam tempoh 60 hari akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN