KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengekalkan kuota pengeluaran petroleum di bawah Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) bagi tahun ini seperti yang telah dipersetujui sebelum ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, keputusan mengekalkan kuota tersebut memberi kelegaan besar kepada negara untuk meneruskan aktiviti sektor minyak dan gas yang telah dirancang, di sebalik krisis bekalan tenaga global yang sedang berterusan.
Menurut beliau, ketetapan itu dicapai hasil daripada keputusan Mesyuarat OPEC+ yang berlangsung di Vienna, Austria, pada Ahad lalu sebelum kementeriannya memulakan saringan Belanjawan 2027 bermula bulan hadapan.
“Kita memang mempunyai komitmen di bawah OPEC+ dan telah dipersetujui bahawa kuota untuk tahun 2026 kekal sepertimana yang diputuskan sebelum ini.
“Langkah ini penting kerana kita akui tahun ini adalah tahun di mana kita perlu menguruskan ekonomi dalam keadaan krisis geopolitik, gangguan tenaga dan isu tarif luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi forum Mengharungi Ketidaktentuan Luaran, Memperkukuh Daya Tahan pada program Invest Malaysia Kuala Lumpur 2026, hari ini.
Mengulas mengenai perancangan bagi tahun 2027, Akmal Nasrullah memaklumkan pihak OPEC+ sedang merangka satu kajian komprehensif di bawah inisiatif Kapasiti Lestari Maksimum (MSC) untuk menyemak semula kuota negara anggota berdasarkan penilaian keupayaan pengeluaran yang lebih spesifik.
Jelasnya, kerajaan bersetuju untuk memberikan kerjasama penuh terhadap kajian tersebut bagi memastikan Malaysia terus mendapat tahap kuota yang seimbang dan sejajar dengan kapasiti pengeluaran sebenar negara.
“Angka kuota yang sesuai bagi 2027 masih di peringkat semakan memandangkan tahap output petroleum negara berubah-ubah mengikut keadaan operasi semasa seperti penutupan loji atau pelantar minyak luar pantai untuk kerja-kerja penyelenggaraan.
“Ketetapan kuota petroleum yang stabil itu juga dijangka membantu kerajaan menguruskan defisit fiskal negara dengan lebih terkawal,” katanya. – UTUSAN










