SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mewujudkan inisiatif khas, Grow untuk membantu individu yang melakukan lebih daripada satu kerja sebagai sumber rezeki termasuk mereka yang terlibat dalam aktiviti keusahawanan.
Satu peruntukan khas akan disalurkan daripada peruntukan tahunan berjumlah RM1 juta termasuk menyediakan program latihan khas kepada usahawan berminat untuk meneroka lebih jauh potensi perniagaan mereka.
Hal itu dimaklumkan Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail yang membuka peluang itu kepada usahawan dalam pelbagai bidang perkhidmatan menerusi latihan secara bersama dengan syarikat berpengalaman.
“Tiada kriteria, kita buka permohonan kepada rakyat di negeri ini tanpa ada syarat-syarat yang menyukarkan dan latihan akan diberikan oleh tenaga pengajar daripada syarikat berpengalaman dalam bidang berkaitan dengan mereka.
“Hari ini, contohnya, kita mengadakan kursus dalam kalangan masyarakat India untuk mengikuti latihan dengan usahawan berpengalaman dalam bidang fotografi, servis penghawa dingin dan spa,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pelbagai peralatan kepada bakal usahawan dalam kalangan masyarakat India di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini hari ini.
Beliau menambah, peserta akan menjalani latihan selama tiga bulan dan selepas itu, mereka akan dibantu untuk menubuhkan perniagaan secara persendirian atau bersama rakan yang lain.
Malah, skop bidang keusahawanan itu juga diperluaskan dan tidak terhad kepada industri makanan atau minuman sahaja, sebaliknya kerajaan negeri turut membantu usahawan berminat dalam sektor mekanikal.
Dalam pada itu, Rodziah menjelaskan, seramai 2,000 usahawan dilahirkan menerusi program berkenaan sejak diwujudkan pada tahun 2019 dan kini bakal memasuki fasa ketiga tidak lama lagi.
“Program tersebut telah memasuki Fasa 3 dalam waktu terdekat melibatkan bajet RM1 juta setahun. Pendaftaran untuk tahun ini secara atas talian pada bulan Mac lalu penyertaan untuk kursus akan datang adalah seramai 716 orang,”katanya. -UTUSAN ONLINE











