Rancang perjalanan lebih awal semasa gunakan LPT2 - Utusan Malaysia

Rancang perjalanan lebih awal semasa gunakan LPT2

Plaza tol LPT2
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn. Bhd. (LPT 2), pengendali lebuh raya bagi Lebuhraya LPT2 menyarankan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal kerana menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan di lebuh raya tersebut pada hujung minggu ini.

Pengurus Perniagaan Wilayah, LPT 2 Sdn Bhd, Suhaimi Samat berkata, peningkatan jumlah kenderaan adalah disebabkan cuti Maulidur Rasul pada Selasa minggu hadapan serta susulan kebenaran perjalanan merentas negeri yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

“Pelanggan lebuh raya yang merancang percutian untuk menikmati pantai yang indah di Terengganu atau menuju ke kampung halaman, mereka dinasihatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka, mendaftar di aplikasi MySejahtera, memeriksa suhu badan di  tempat yang ditetapkan dan menjaga jarak yang selamat apabila beratur untuk mendapatkan makanan atau ketika menggunakan kemudahan di lebuh raya kami,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Suhaimi berkata LPT2 juga mengalu-alukan semua pelanggan lebuh raya untuk singgah di mana-mana kawasan Rehat dan Rawat (R&R) untuk berehat selepas perjalanan yang panjang.

“Kami juga menggalakkan pelanggan lebuh raya untuk menyokong rakan peniaga tempatan kami di lima R&R dan empat hentian sebelah di lebuh raya LPT2 dengan membeli produk tempatan mereka sebagai hadiah untuk dibawa pulang kepada keluarga dan rakan taulan.

“Selain itu, kemudahan awam lain di R&R seperti stesen minyak, surau dan tandas awam juga dibuka 24 jam sehari,” katanya.

Selain itu, katanya, pelanggan yang telah menerima vaksin lengkap kini boleh menikmati pelbagai pilihan juadah yang enak ketika berkunjung ke R&R dan hentian sebelah semasa perjalanan.

“Untuk pengesahan bagi menikmati makanan di ruang makan medan selera, pelanggan yang telah menerima vaksin lengkap perlu menunjukkan status vaksinasi Covid-19 di aplikasi MySejahtera ketika membuat pesanan di gerai kendalian rakan niaga yang beroperasi. Mereka kemudiannya akan menerima pelekat hijau sebelum memasuki ruang makan di medan selera R&R,” katanya.

Di samping itu, kata Suhaimi, sekiranya terdapat pertembungan besar di kalangan pelanggan di R&R dan penjarakan fizikal boleh terjejas, LPT 2 dan rakan peniaga kami akan menawarkan pembelian makanan untuk dibawa pulang bagi mengelakkan orang ramai bertumpu di satu-satu kawasan.

Katanya lag, bagi memastikan kebersihan, semua kemudahan R&R dan hentian sebelah di LPT2 dibersihkan dan disanitasi mengikut jadual.

“Setiap ruang solat di surau mempunyai penanda penjarakan satu meter termasuk penanda penjarakan di kawasan mengambil wuduk. Pelanggan  lebuh raya juga digalakkan membawa kelengkapan solat sendiri seperti sejadah atau telekung untuk wanita, bagi memastikan kebersihan diri terpelihara.

“Bergantung kepada saiz dan susun atur setiap surau, poster pemberitahuan had bilangan jemaah yang dibenarkan telah dipasang dengan jelas dan pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera diperlukan untuk tujuan pengesanan kontak,” katanya.

LPT 2 juga menasihatkan pelanggan lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka dengan baik dan memastikan kad Touch ‘n Go mempunyai baki yang mencukupi  untuk memastikan perjalanan yang lebih lancar ketika melalui plaza tol.

Sebarang maklumat trafik terkini dan bantuan di lebuh raya, pelanggan boleh menghubungi Talian Bantuan LPT2Line di 1800-88-0220.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya