PRN Melaka: Hadkan kempen fizikal, guna media sosial, telefon - Utusan Malaysia

PRN Melaka: Hadkan kempen fizikal, guna media sosial, telefon

AZMI HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh diadakan dengan syarat kempen secara fizikal dihadkan sama seperti Singapura dan Korea Selatan yang berjaya mengadakan pilihan raya umum tahun lalu.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, geostrategis Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, PRN Sabah telah membuktikan kebenaran rentas negeri bukan punca sebenar kluster baharu Covid-19 ketika itu, sebaliknya penularan kerana kempen secara fizikal dibenarkan.

“Tidak menjadi masalah besar untuk adakan pilihan raya terutamanya ketika hari mengundi kerana prosedur operasi standard (SOP) ketat boleh dilakukan yang menjadi masalahnya adalah kempen kerana ada perkumpulan manusia, orang ramai dalam satu kawasan kecil,” katanya ketika dihubungi semalam.

Justeru, beliau mengesyorkan supaya semua calon hanya dibenarkan berkempen secara maya bagi mengelakkan risiko wujudnya kluster jika PRN Melaka diadakan nanti.

“Mungkin juga tarikh dan tempoh berkempen perlu dipendekkan, mungkin dalam masa tujuh hari supaya apa yang berlaku di Sabah tidak berulang di Melaka,” katanya.

Beliau mengulas sama ada PRN Melaka boleh menggunakan model Singapura dan Korea Selatan yang mengehadkan calon berkempen secara fizikal, sebaliknya diminta berkempen menggunakan sosial media di internet, mesej teks dan panggilan telefon.

Hasil daripada kaedah itu, pilihan raya umum di kedua-dua negara itu dapat diadakan dengan baik, malah langsung tidak ada kluster Covid-19 yang dicetuskan daripada pilihan raya tersebut.

Bagi pakar Perlembagaan, Dr. Muhammad Fathi Yusof, tiga perkara perlu diberikan perhatian iaitu peraturan lebih ketat, penguatkuasaan undang-undang dan pergerakan kempen serta pengundi dikawal jika PRN Melaka diadakan.

“Sebenarnya masalah yang berlaku di PRN Sabah apabila dibenarkan kempen rumah ke rumah, perhimpunan terbuka termasuk aspek penglibatan individu dari luar negeri dibenarkan tanpa sekatan munasabah selain penguatkuasaan undang-undang yang juga dilihat amat perlahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN