Peruntukan dana RM10 juta industri kreatif disalur sama rata - Utusan Malaysia

Peruntukan dana RM10 juta industri kreatif disalur sama rata

Abdul Karim Rahman Hamzah (duduk dua dari kiri) ketika dalam sidang media selepas menghadiri “Tenun Fashion Week” di Old Court House, Kuching semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak (MTAC) akan memperhalusi pemberian dana kepada pemain industri kreatif di negeri itu.

Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dana yang diperuntukkan baru-baru ini sebanyak RM10 juta dalam pembentangan Belanjawan 2022 Negeri Sarawak memberikan nafas lega terutamanya kepada pemain industri kreatif dan dijangka dapat diagihkan bermula tahun hadapan.

“Peruntukan dana ini baru saja diumumkan dan kita di peringkat kementerian masih lagi perlu meneliti bagi individu yang benar-benar layak untuk memohon dana berkenaan.

“Bagaimanapun, saya tetap yakin pada tahun depan semua pemain industri kreatif di negeri ini boleh memohon dana tersebut terutamanya mereka yang telah lama terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Tenun Fashion Week di Old Court House, Kuching semalam.

Tambahnya lagi, peruntukan dana tersebut juga menunjukkan bukti keprihatinan kerajaan Sarawak terhadap industri kreatif susulan penularan Covid-19 yang menghalang sebarang aktiviti industri kreatif untuk diadakan.

Justeru, pihak di kementeriannya juga akan membuat penilaian terhadap pecahan dana yang bakal disalurkan kepada pemain industri kreatif yang terdiri daripada industri kebudayaan, kesenian dan warisan.

“Untuk berlaku adil, kita juga akan berbincang untuk mengagihkan dana yang telah diperuntukkan kepada beberapa pemain industri kreatif.

“Namun, mereka yang layak untuk memohon dana ini nanti juga perlu mempunyai rekod yang aktif dalam industri kreatif sekali gus memberikan mereka peluang untuk terus berkarya dalam industri ini,” katanya.

Selasa lalu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan belanjawan negeri untuk tahun 2022 berjumlah RM10.646 bilion.

Daripada jumlah itu, RM6.6 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan dan RM4.046 bilion untuk perbelanjaan pengoperasian.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya