KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan diambil oleh pelbagai agensi terhadap pemilik kedai aksesori dan komponen kenderaan yang didapati menjual barangan menyalahi undang-undang bagi memastikan punca kegiatan tersebut dikenal pasti dan ditangani hingga ke akar umbi.
Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya akan melihat perkara itu daripada pelbagai aspek kajian dan merujuk perkara ini kepada pihak Kementerian Pengangkutan sebelum tindakan dilaksanakan.
Menurutnya, JPJ akan mengambil tindakan dari segi perundangan.
“Sudah sampai masanya untuk kita melihat keperluan tindakan diambil pada bengkel-bengkel. Jadi untuk peringkat hari ini saya nyatakan kami akan melakukan kajian yang mendalam dalam pelbagai aspek untuk tindakan ke atas bengkel.
“Tunggu pengumuman yang akan diumumkan nanti,” katanya dalam sidang akhbar Op Extreme di Pejabat JPJ Kuala Lumpur di sini hari ini. Turut hadir Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.
Mengulas mengenai aksesori dan alat ganti motosikal yang digunakan bagi meningkatkan kelajuan, Muhammad Kifli menjelaskan, JPJ akan bekerjasama dengan pelbagai agensi terutama sekali dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan ketulenan dan sebagainya.
Katanya, JPJ juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain antaranya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta pihak berkuasa tempatan.
“Kami akan bekerjasama dan akan melakukan operasi secara bersepadu,” ujarnya. – UTUSAN










