Perintis bom nuklear Pakistan meninggal dunia - Utusan Malaysia

Perintis bom nuklear Pakistan meninggal dunia

ABDUL QADEER KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Abdul Qadeer Khan yang digelar sebagai ‘bapa bom nuklear Pakistan’ meninggal dunia pada usia 85 tahun selepas menerima rawatan di hospital akibat jangkitan Covid-19.

Saintis itu dinobat sebagai wira Pakistan kerana berjaya membawa negara ini menjadi negara Islam pertama yang mempunyai kuasa nuklear, namun Barat menganggap beliau sebagai individu bertanggungjawab menyeludup teknologi kepada negara berpaling tadah.

Stesen penyiaran PTV melaporkan, Abdul Qadeer meninggal dunia selepas dipindahkan ke sebuah hospital di sini dengan masalah saluran pernafasan.

Pada Ogos lalu, beliau dimasukkan ke hospital sama akibat dijangkiti Covid-19.

Selepas dibenarkan pulang ke rumah beberapa minggu lalu, Abdul Qadeer dimasukkan semula ke hospital selepas tahap kesihatannya semakin merosot.

Presiden Pakistan, Arif Alvi menerusi twitter menzahirkan kesediahan dan mengucapkan takziah.

“Beliau membantu kita membangunkan teknologi nuklear dan Pakistan tidak akan melupakan sumbangannya,” katanya.

Abdul Qadeer menerima pelbagai pengiktirafan kerana berjaya membawa Pakistan setaraf dengan India dalam bidang atom dan menjadikan benteng pertahanan negara ini sukar ditembusi pihak lawan.

Namun, beliau dikecam diperingkat antarabangsa kerana didakwa berkongsi kepakarannya secara haram dengan Iran, Libya dan Korea Utara. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN