PETALING JAYA: Pendapatan lumayan mencecah ribuan ringgit dalam tempoh singkat mendorong segelintir pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan terjebak dalam aktiviti tidak bermoral termasuk menjual diri di internet.
Bayaran sekitar RM2,000 hingga RM4,000 untuk sekali khidmat, menggoda pelajar-pelajar yang mahu hidup mewah dengan cara mudah terjebak dalam kancah yang tidak bermoral ini.
Diberi istilah ‘call girl’, selain menjadi peneman yang menwarkan khidmat seks berdasarkan permintaan pelanggan dan lokasi, ada juga yang menerima bayaran sekitar RM3,000 hanya untuk satu rakaman video erotik berdurasi kurang 10 saat.
Dalam temu bual eksklusif Utusan Malaysia dengan siswi yang terlibat, mereka mendedahkan aktiviti tidak bermoral ini tidak tertumpu di bandar besar di Lembah Klang.
Sebaliknya ia turut membabitkan IPT di luar ibu Lembah Klang dan melibatkan kedua-dua jenis IPT iaitu awam dan swasta.
Seorang mahasiswi berusia 24 tahun yang hanya mahu dikenali, Bella mendedahkan, terlibat dalam kegiatan itu kira-kira dua tahun lalu selepas diperkenalkan kepada pelanggan oleh kenalan.
Bella yang merupakan anak sulung daripada enam beradik berkata, dia bukanlah berasal daripada keluarga susah, namun membesar dalam keadaan kurang perhatian dan kasih sayang.
“Cuma sejak kecil saya rasa kurang perhatian dan kasih sayang, terutama apabila keluarga lebih banyak sibuk dengan masalah masing-masing.
“Bila ada orang beri perhatian, belikan barang dan layan saya seperti orang penting, saya mudah terpengaruh,” katanya yang kini menuntut di semester enam di sebuah IPT swasta.
Bella berkata, selain digunakan untuk membayar komitmen sebagai pelajar, wang yang diperoleh mampu membeli barangan berjenama, rawatan kecantikan dan keinginan gaya hidup lantas menyukarkannya untuk berhenti.
Dalam pada itu, pelajar universiti awam berusia 23 tahun yang ingin dikenali sebagai Baby berkata, sebelum menawarkan perkhidmatan seks, dia hanya memuat naik gambar berpakaian mencolok mata di media sosial.
“Ada orang sanggup membayar. Lama-lama saya rasa seronok sebab mudah dapat duit sampai akhirnya sanggup tawarkan khidmat seks,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelajar universiti awam berusia 20 tahun di Johor Bahru yang mahu dikenali sebagai Farah berkata, dia terdedah kepada kandungan lucah sejak kecil yang membuatkannya tidak segan menjual gambar serta video peribadi kepada lelaki ‘hidung belang’.
Farah berkata, keinginan tidak terbendung itu menyebabkan dia akhirnya menjadikan kandungan lucah berbayar sebagai jalan mendapatkan wang.
Bagi pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abd. Rahim, laman web yang menawarkan perkhidmatan seks masih mampu beroperasi meskipun disekat kerana sifat internet yang merentasi sempadan, selain penggunaan pelayan luar negara.
Katanya, kegiatan call girl dalam kalangan penuntut universiti serta aktiviti penjualan kandungan peribadi akan membawa mereka kepada jenayah lebih serius seperti sindiket pemerdagangan manusia dan eksploitasi wanita.
“Walaupun kandungan jelas melanggar undang-undang tempatan, teknik penyamaran identiti dan penggunaan pelayan luar negara menjadikan tindakan penguatkuasaan lebih kompleks kerana mampu muncul semula dengan domain atau platform baharu.
“Kegiatan itu juga berisiko menjadi pintu masuk kepada jenayah lebih serius termasuk pemerdagangan manusia, eksploitasi wanita, penipuan, ugutan dan pemerasan.”- utusan










