KUALA LUMPUR: Undang-undang khusus untuk menangani segala isu mengenai keselamatan siber akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada minggu hadapan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, ini setelah kerajaan mendapati undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk menangani isu keselamatan siber.
“Yang Berhormat Kluang membangkitkan mengenai isu kebocoran maklumat dan data daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang sudah pun dijual, tapi sebenarnya sebelum ini sudah ada masalah ini jadi Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu memperkukuh dan memperketatkan, bagaimana kita harus melihat dari sudut individu, proses dan teknologi.
“Walaupun kita ada undang-undang Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Polis tetapi kerajaan berpendapat perlu ada satu undang-undang khusus untuk cybersecurity,” katanya ketika sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.
Justeru, beliau berkata perkara itu sedang dibincangkan dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.
“Kita akan bentangkan kertas kepada Kabinet dan memorandum Kabinet, insya-Allah minggu depan, untuk memastikan segala data yang dipunyai kerajaan dan swasta terus dipelihara,” katanya.
Minggu lalu, kerajaan berdepan dengan isu kebocoron data apabila sebuah forum di internet mengeluarkan maklumat kononnya pangkalan data JPN ketika ini tersenarai untuk dijual dalam forum pasaran pangkalan data terkemuka dengan harga kira-kita RM35,500 yang merangkumi empat juta data peribadi awam rakyat Malaysia yang lahir dari tahun 1979 hingga tahun 1998.
Penjual itu turut mendakwa pangkalan data tersebut mempunyai empat juta data pengguna awam yang diperoleh dari laman web LHDN menerusi Application Programming Interfaces (API) yang diwujudkan untuk sistem myIDENTITY. -UTUSAN ONLINE










