KUALA SELANGOR: Tindakan seorang pencuri mencuri sebuah motosikal berusia 24 tahun dekat sebuah rumah di Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang di sini, terbongkar apabila dirakam kamera litar tertutup (CCTV), semalam.
Rakaman yang tular dalam media sosial itu memaparkan tindakan berani suspek memasuki halaman rumah berkenaan pada pukul 2.13 pagi.
Mangsa, Muhammad Rafiq Rahimi Rosli, 24, berkata, kejadian itu disedari bapanya yang bangun untuk menunaikan solat subuh, kira-kira pukul 6 pagi.
“Apabila keluar, dia (bapa) terkejut melihat motosikal jenis Honda EX5 kesayangannya yang berada di hadapan rumah sudah hilang.
“Kami kemudian melihat rakaman CCTV dan mendapati perbuatan itu dilakukan seorang lelaki,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Menurutnya, dia terkilan kerana motosikal itu sangat sentimental padanya sejak dibeli bapanya pada 1997.
“Kami turut sudah memberi peluang kepada individu itu supaya memulangkan semula motosikal tersebut selepas tular.
“Namun, ia masih belum ditemukan setakat ini dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkannya kepada polis,” katanya.
Tambah Muhammad Rafiq, satu laporan sudah dibuat di Balai Polis Tanjong Karang sejurus kejadian semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.
“Kita setakat ini masih sedang mengesan individu di dalam rakaman CCTV tersebut. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










