KUALA LUMPUR: Kos sebenar bagi menyediakan dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah berjumlah RM4.2 juta, kos yang tidak didedahkan sebelum ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata, jumlah itu jelas membuktikan bahawa kerajaan tidak membelanjakan sehingga RM2 bilion seperti yang didakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya ingin menegaskan bahawa RMK12 tidak disediakan oleh perunding asing tetapi pegawai Unit Perancang Ekonomi (EPU) dengan kerjasama kementerian, agensi serta sokongan beberapa pihak berkepentingan lain,” katanya ketika sesi penggulungan RMK12 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga mendapat khidmat nasihat dari Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), perunding tempatan serta bekas pegawai kanan EPU untuk menyemak konsistensi serta menambah baik gaya, bahasa dan kaedah penyampaian dokumen agar lebih mudah difahami.
“Penyediaan dokumen RMK12 hanya melibatkan kos yang amat kecil termasuk perbelanjaan libat urus, percetakan dan perunding media iaitu RM4.2 juta dan bukan RM2 bilion.
“Oleh itu, dakwaan Yang Berhormat Port Dickson bahawa sebanyak RM2 bilion dibelanjakan untuk menyiapkan RMK12 adalah tidak berasas,” katanya.










