Kedai buku zaman British akhirnya tutup - Utusan Malaysia

Kedai buku zaman British akhirnya tutup

MARIA Ng Abdullah menunjukkan naskhah terakhir Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan keluaran Utusan Melayu (M) Berhad. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Syarikat Buku Thai Kuang yang menjadi pembekal barangan keperluan persekolahan sejak tahun 1947 dan disifatkan sebagai kedai buku ‘legenda’ oleh anak jati Melaka, akhirnya menutup operasi perniagaannya di Jalan Hang Tuah di sini, pada 15 Oktober ini.

Pemiliknya, Maria Ng Abdullah, 75, berkata, keputusan sukar itu dibuat setelah mengambil kira perubahan teknologi pada hari ini yang menawarkan pelbagai perkhidmatan secara dalam talian.

“Syarikat Buku Thai Kuang ini asalnya adalah perniagaan bapa saya, Ng Yook Chee dan kedai buku kami dibuka di Segamat, Johor pada 1947. Sebelum berpindah ke Melaka pada penghujung tahun 1963.

“Kami menjadi antara pembekal terawal di Tanah Melayu yang membekalkan buku serta keperluan pembelajaran, yang pada ketika itu pendidikan adalah dalam bahasa Inggeris susulan penjajahan British.

“Bagaimanapun, setelah 74 tahun beroperasi, saya mengambil keputusan untuk menutup perniagaan ini memandangkan ramai yang membeli barangan keperluan persekolahan secara dalam talian, yang lebih mudah dan cepat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Tambahnya, pada era 60-an sehingga 70-an, kedainya merupakan pembekal utama buku dan peralatan pembelajaran ke lebih 60 buah sekolah di wilayah selatan tanah air.

Mengulas lanjut, dia bagaimanapun memaklumkan, penutupan tersebut bukanlah disebabkan kesan pandemik Covid-19, namun menganggapnya sebagai persaraan dan berpencen buat kakitangannya yang setia bersama lebih 40 tahun.

“Saya mula membantu ayah sejak berusia 20 tahun, sebelum itu saya pernah berhasrat untuk menjadi guru, malah sempat menghabiskan pengajian di sebuah maktab di Johor dan mengajar selama setahun.

“Cukuplah 55 tahun saya menguruskan kedai buku ini, saya ingin bersara dan menghabiskan masa dengan tiga orang anak serta tujuh cucu yang berada di luar negara. Pekerja saya juga ada yang sudah berusia 70 tahun dan mahu berpencen,” jelasnya sambil tersenyum.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa pelanggan turut mengambil peluang merakamkan gambar kenangan di hadapan premis tersebut sebelum ia ditutup.

Seorang pelanggan, Zaleha Aji, 44, berkata, sejak di bangku sekolah lagi, kedai buku berkenaan merupakan pilihan pertama akan dituju bagi mendapatkan keperluan sekolah.

“Dahulu saya dan kawan-kawan akan datang ke kedai ini menaiki bas dari sekolah di Ayer Molek. Kerana dekat sini banyak pilihan peralatan dan jenis buku, malah mereka juga menawarkan potongan harga istimewa untuk pelajar.

“Selepas mendirikan rumah tangga, saya bawa anak-anak saya pula ke sini. Sejak mereka kecil memang kelengkapan pembelajaran sekolah saya beli di sini, sayangnya kedai ini akan ditutup. Saya akan kenang kedai buku Thai Kuang ini, memang kedai buku legenda,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×