KLANG: Ahli keluarga waris jenazah meninggal dunia akibat Covid-19 yang merasakan mereka terpedaya dengan caj mahal oleh kartel diminta tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Mereka hanya perlu mengemukakan bukti seperti resit kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau Kementerian Kesihatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, sikap waris yang reda dengan perbuatan kartel pengurusan jenazah menyebabkan kegiatan tersebut tidak dapat dibendung secara menyeluruh.
“Kegiatan tersebut telah terbukti apabila SPRM mengambil tindakan terhadap kakitangan hospital yang terlibat.
“Sepatutnya waris yang terpaksa membayar caj melampau kepada kartel pengurusan jenazah melibatkan orang dalam ini tampil membuat laporan dan menjadi saksi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan, lima kakitangan jabatan forensik sebuah hospital di negeri ini ditahan berhubung kes rasuah pengurusan jenazah selepas dipercayai mengaut keuntungan kira-kira RM22,000 dalam tempoh dua tahun sejak tahun 2019.
Satu sumber berkata, petugas kesihatan Gred 19 hingga Gred 29 itu menerima habuan antara RM300 hingga 400 bagi setiap jenazah daripada ejen mengikut jenis-jenis kematian.
Mengulas lanjut, Azmizam berharap lebih ramai waris yang terpaksa membayar caj melampau oleh kartel pengurusan jenazah di hospital tertentu memberi maklumat kepada SPRM agar kes tersebut dapat dibanteras.
“Saya difahamkan, waris-waris yang teraniaya hingga terpaksa membayar caj tayamum jenazah hingga empat angka mengambil sikap berdiam diri kerana mengambil prinsip tidak mahu memanjangkan perkara tersebut.
“Bagaimanapun saya menyeru mangsa-mangsa yang terlibat tidak terus berdiam diri dan membiarkan saki-baki kartel pengurusan jenazah terus bermaharajalelaKartel ulat jenazah: Jangan reda, segera buat laporan menganiayai waris pesakit Covid-19 dan lain-lain sebab kematian,” katanya. -UTUSAN











