KUALA SELANGOR: Orang awam yang melancong dalam daerah Kuala Selangor diingatkan supaya sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang ditetapkan kerajaan.
Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd. Faizal Abdul Raji berkata, kerajaan masih lagi melaksanakan SOP pandemik Covid-19 yang belum lagi dibatalkan atau ditukar kerajaan ketika ini.
“Saya difahamkan kawasan Pantai Remis dipenuhi orang awam yang berkelah di situ.
“Jadi saya harap, mereka ikutlah SOP seperti mengamalkan penjarakkan fizikal, sentiasa memakai pelitup muka serta mendaftar diri di MySejahtera sekiranya berkunjung di mana-mana premis,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 peringkat Kuala Selangor di Dewan Dato’ Penggawa, di sini, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sektor pelancongan di daerah tersebut kembali rancak setelah kerajaan membenarkan orang awam melancong di dalam negeri pada bulan lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, mereka yang mahu menginap di hotel atau resort mesti sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 serta menjalani tempoh matang vaksin selama dua minggu.
Dalam pada itu menurutnya, pihak berkuasa masih menjalankan rondaan terhadap premis dan kawasan tumpuan orang awam bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku.
Sementara itu, Mohd. Faizal berkata, seramai 2,576 peserta yang menyertai aktiviti yang dianjurkan dalam program HSN pada kali ini.
Dia meluahkan kegembiraannya kerana penganjuran program terbabit mendapat sambut memberangsangkan daripada pelbagai pihak. -UTUSAN ONLINE