Internet lemah kerana bentuk muka bumi - Utusan Malaysia

Internet lemah kerana bentuk muka bumi

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Masalah capaian internet lemah di Kampung Seri Kesinai, Padang Besar yang menyukarkan penduduk berpunca daripada keadaan bentuk muka bumi di kawasan berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, masalah tersebut dikenal pasti selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melakukan siasatan semasa turun ke kawasan tersebut pada 21 Oktober lalu.

“Susulan penemuan masalah itu, kita akan memulakan kerja pengoptimuman menara berhampiran yang akan bermula 25 Oktober dan dijangka siap pada 8 November sebagai salah satu daripada langkah penyelesaian.

“Menara Kampung Baharu telah selesai dinaik taraf bagi menambah baik kualiti 4G dan menara baharu di Sungai Chuchuh juga telah mula beroperasi dengan memberi perkhidmatan dan manfaat yang lebih baik bagi penduduk di Sungai Chuchuh Unicity dan kawasan sekitarnya,” katanya menerusi catatan di Twitternya di sini, semalam.

Utusan Malaysia 20 Oktober lalu melaporkan, dilema yang terpaksa dihadapi penduduk Kampung Seri Kesinai, Padang Besar berikutan masalah capaian internet lemah.

Malah, ada dalam kalangan penduduk terpaksa keluar rumah mencari kawasan yang mempunyai liputan internet le­bih kuat semata-mata untuk mengakses e-mel bagi urusan kerja.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Francis Khaw Hock Kong dilaporkan berkata, terdapat maklum balas daripada penduduk setempat bahawa mereka sangat terjejas akibat akses internet yang lembab itu.

Katanya, penduduk terutamanya yang mempunyai anak-anak mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) juga berdepan masalah besar.

“Jika ingin dibandingkan dengan Thailand, akses internet mereka lebih baik daripada kita. Jadi saya berharap, pihak berkaitan dapat berusaha me­ningkatkan lagi kelajuan internet di kawasan-kawasan yang masih lagi lemah,” kata Francis Khaw.

Selain itu, masalah capaian internet khususnya kawasan luar bandar di negeri ini juga antara yang kerap disuarakan ibu bapa yang kecewa apabila sesi PdPR anak-anak mereka sering terganggu.

Ibu bapa sering menyuarakan masalah tersebut setiap kali perjumpaan dan perkara terbabit telahpun dipanjangkan kepada pihak bertanggungjawab sebelum ini, namun, isu berkenaan tidak pernah selesai. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.