Genap 19 tahun tragedi pengeboman Bali berlaku - Utusan Malaysia

Genap 19 tahun tragedi pengeboman Bali berlaku

SEORANG lelaki melihat sejumlah kenderaan yang musnah dalam insiden pengeboman di Kuta, Bali pada 14 Oktober 2002. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALI: Hari ini, genap 19 tahun tragedi pengeboman di Bali berlaku dan insiden itu disifatkan antara serangan pengganas paling buruk di Indonesia.

Lapor Kompas.com, tragedi yang berlaku pada 12 Oktober 2002 itu menyaksikan ledakan bom di dua kelab malam di Kuta dan pada masa sama, insiden pengeboman turut berlaku di Pejabat Konsulat Amerika Syarikat (AS) di sini.

Dua kelab malam itu adalah Paddy’s Club dan Sari Club.

Ketiga-tiga pengeboman itu berlaku serentak kira-kira pada pukul 11.15 malam waktu tempatan.

Tragedi itu dimulakan selepas suspek pengganas yang dikenali sebagai Ali Imron meletakkan bom seberat enam kilogram di pejabat konsulat AS pada hari kejadian.

Kira-kira pukul 8.30 malam, Ali dan dua lagi pengebom bunuh diri bergerak ke Legian, manakala empat lagi suspek pengganas bersiap sedia melancarkan serangan di Paddy’s Club.

Tidak lama kemudian, satu ledakan kuat dapat didengari di Sari Club, diikuti letupan di Paddy’s Club dan pejabat konsulat AS.

Ketiga-tiga letupan itu sangat kuat dan struktur bangunan terbakar hampir keseluruhan.

Tragedi tersebut mengorbankan 202 orang dengan 209 yang lain cedera dan pihak berkuasa Indonesia menahan 26 suspek yang terlibat dalam serangan tersebut termasuk Amrozi Nurhasyim yang didakwa dalang kejadian.

Mengimbau kenangan pahit tersebut, Made Yoga Pramana berharap kejadian itu tidak akan berulang pada masa akan datang.

Dalam insiden itu, Made kehilangan bapanya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Sari Club.

“Semua rakyat Indonesia tidak mahu insiden 19 tahun itu berulang lagi kerana kehilangan yang kami rasakan amat menyakitkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.