SHAH ALAM: Kebimbangan terhadap gangguan bekalan air di negeri ini menyebabkan tempahan penginapan hotel di bandar ini kurang mendapat sambutan termasuk pada hujung minggu.
Pegawai Pemasaran hotel Goodhope Hotel, Mohamad Danial Alif berkata, keadaan itu berbeza dengan sebelum ini apabila sektor itu kembali dibenarkan beroperasi sejak bulan lepas, tempahan pada hujung minggu amat menggalakkan.
“Hanya 10 bilik ditempah walaupun pengurusan hotel membenarkan 15 bilik dibuka kepada pelanggan berbanding 55 yang dikhaskan kepada petugas barisan hadapan.
“Buat masa ini ada pelanggan yang sudah pun menginap di hotel ini termasuk petugas frontliners sehingga hujung minggu, malah ada yang akan daftar keluar esok.
“Kadang-kadang tak semestinya juga pelanggan itu datang sebab gangguan bekalan air seperti berlaku sekarang.
“Bagaimanapun, orang ramai boleh menghubungi kami sekiranya mereka mahu tinggal di sini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) hari ini memaklumkan, kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) bermula pada pukul 9 pagi tadi mengikut jadual seperti yang diumumkan pada 1 Oktober lalu.
Menurut syarikat tersebut, bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna bermula pukul 5 petang esok setelah sistem bekalan air distabilkan.
Dalam pada itu, situasi sama turut berlaku kepada D’Metro Hotel, Shah Alam apabila masih terdapat 39 kekosongan berbanding 18 bilik yang ditempah daripada keseluruhan 57 bilik disediakan.
Pegawai Perkhidmatan Pelanggannya, Norashah Othman walau bagaimanapun berkata, pelanggan tidak perlu khuatir mengenai masalah gangguan bekalan air yang berlaku di hotel dalam senarai kawasan terjejas.
“Kami dapat tempahan daripada orang awam, namun mereka belum memberi pengesahan sama ada mahu meneruskan tempahan bilik atau sebaliknya.
“Pihak hotel turut melakukan penjimatan air namun insya-Allah, air dalam tangki hotel ini mencukupi untuk digunakan oleh semua pengunjung kerana kami mempunyai tujuh tangki simpanan air besar dan diyakini cukup untuk kegunaan pelanggan yang menginap,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










