ATHENS: Seorang penumpang Ryanair hampir tercampak keluar daripada pesawat selepas tingkap kabin pecah ketika penerbangan berada di udara dalam perjalanan dari Greece ke Jerman.
Menurut laporan media tempatan, lelaki warga Serbia berusia 61 tahun itu dipercayai tersedut keluar daripada tempat duduknya akibat tekanan udara sebelum tergantung dalam keadaan kepala ke bawah di luar tingkap pesawat.
Kejadian dilaporkan berlaku selepas kegagalan enjin menyebabkan serpihan terkena tingkap akrilik pesawat Boeing 737 berkenaan.
Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan apabila isterinya memegang kakinya dan menghalang dia daripada tercampak keluar daripada pesawat.
Insiden itu berlaku dalam penerbangan Ryanair FR1879 dari Thessaloniki, Greece ke Memmingen berhampiran Munich, Jerman pada Khamis lalu. Penerbangan tersebut dikendalikan oleh anak syarikat RyanAir, Malta Air.
Pegawai kesatuan sekerja, Michalis Giannakos, berkata mangsa dihantar ke hospital selepas mengalami renjatan dan melecur akibat geseran angin sejuk ketika berada di luar pesawat, lapor Newsit.
Jurucakap Ryanair mengesahkan kejadian tersebut selepas memaklumkan penerbangan dari Thessaloniki ke Memmingen pada pagi Jumaat berpatah balik ke Thessaloniki selepas berlepas ekoran satu tingkap penumpang tercabut.
Data daripada laman penjejakan penerbangan FlightRadar24 menunjukkan pesawat itu berada di udara lebih sejam dan mencapai ketinggian 16,000 kaki sebelum berpatah balik dan mendarat di Lapangan Terbang Thessaloniki.- AGENSI










