Cemburu punca pesara tentera dibunuh - Utusan Malaysia

Cemburu punca pesara tentera dibunuh

MIOR FARIDALATRASH WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Cemburu dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang pesara tentera yang ditemukan mati di kawasan semak di Bukit Sumpitan dekat Selama, kelmarin.

Mayat lelaki berusia 42 tahun itu ditemukan dalam keadaan hampir membusuk dengan sembilan kesan tikaman di badan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menerima laporan pada Isnin lalu membabitkan kes seorang lelaki dilarikan secara paksa dari rumahnya di Taman Ngah Ibrahim, Taiping.

Menurut beliau, mangsa dilarikan dua individu yang dikenalinya di hadapan rumah pada pukul 3 petang, Ahad lalu.

Katanya, ketika kejadian, kedua-dua suspek terbabit bersenjatakan besi dan memandu kereta jenis Nissan Almera.

“Bertindak atas maklumat tersebut, polis telah melakukan tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 31 tahun di Taiping, kelmarin dan seorang tentera berusia 34 tahun di Perlis malam tadi.

“Kedua-dua suspek telah membawa polis ke kawasan di Bukit Sumpitan dan menunjukkan lokasi di mana mangsa telah dibunuh pada hari kejadian,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut Mior Farid, pemeriksaan pada mayat mangsa mendapati terdapat sembilan kesan tikaman dipercayai menggunakan senjata tajam.

Katanya, lima tikaman dikesan di bahagian belakang badan manakala empat tikaman lagi di bahagian hadapan.

“Mangsa dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh tiga hari dengan mayatnya dijumpai kira-kira 60 meter dari tepi jalan di Bukit Sumpitan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Punca pembunuhan dipercayai akibat masalah cemburu di mana suspek yang juga tentera menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, tinjauan pemberita di pekarangan Jabatan Forensik HRPB mendapati beberapa ahli keluarga mangsa berkumpul sementara menunggu hasil bedah siasat.

Bagaimanapun, isteri mangsa enggan ditemubual ketika ditemui. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya