CAAM saran kesihatan mental kru operasi pesawat dipantau - Utusan Malaysia

CAAM saran kesihatan mental kru operasi pesawat dipantau

BERLAKU peningkatan kekerapan penerbangan selepas kerajaan membenarkan rentas negeri dan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesemua kru operasi terutama juruterbang perlu dipantau tahap kesihatan mental mereka sebelum dibenarkan untuk terbang.

Saranan itu antara disuarakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) susulan kelonggaran rentas negeri dan negara sebagai persediaan memasuki fasa endemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Chester Voo Chee Soon berkata, langkah awal itu perlu ekoran kesan jangka panjang industri penerbangan yang terjejas teruk lebih setahun lalu.

“Operator wajar memantau rapat setiap petugas terutama bahagian operasi sebelum pesawat terbang,” kata beliau menerusi pekeliling Maklumat Keselamatan 06/2021 diterbitkan hari ini.

Memo bertajuk Tingkatkan Keselamatan, Latihan dan Penyelenggaraan Persediaan Industri Penerbangan Awam itu malah meletakkan pemeriksaan kesihatan mental sebagai isu utama.

Ini termasuk pihak pengurusan perlu melakukan saringan ke atas pekerja selain mewujudkan suasana selesa, selamat dan ada ruang bagi petugas menyuarakan permasalahan peribadi.

Syarikat penerbangan juga wajar ada sesi libat urus dan komunikasi jelas bagi segera bantu mengenal pasti sebarang isu dan menyediakan pertolongan di samping ada penilaian risiko.

“Justeru, kempen kesedaran kesihatan mental dengan diadakan kumpulan sokongan adalah perlu serta ada zon selamat untuk kru bercakap mengenai masalah mereka,” kata Chester.

CAAM juga menyarankan ada pelan mitigasi serta senarai semak persediaan mental kru agar tahap kesihatan jiwa mereka berada dalam keadaan optimum sebelum penerbangan.

Ia meliputi soalan seperti amaun tidur, status kesihatan, tekanan perasaan dan aktiviti jasmani beberapa hari sebelum tugas penerbangan selain saringan awal persediaan tahap mental kru.

Beliau juga menekankan aspek peningkatan latihan ekoran ketika ini sudah berlaku lonjakan kekerapan penerbangan aktif setelah keadaan agak ‘lesu’ hampir tempoh 20 bulan lamanya.

Semua pemain industri termasuk jurutera, pengawal trafik udara dan kru di darat dinasihatkan meneliti semula manual operasi bagi memastikan pengetahuan mereka kekal dalam ingatan.

“Kekurangan ilmu mungkin menghakis kemahiran dan masa tindak balas ketika berlaku kes kecemasan terutama isu teknikal setelah terlalu lama tidak bertugas di lapangan,” katanya.

Chester malah mengingatkan operator untuk menyediakan masa yang cukup bagi kru dapat mengulang kaji semula latihan kemahiran dan pengetahuan teori sebelum dikerahkan bekerja.

Perkara terakhir ditekankan pekeliling itu ialah aspek penyelenggaraan aset dan pesawat ekoran sebelum ini berada dalam situasi hibernasi agak lama di darat yang mungkin telah rosak.

Oleh itu, penilaian risiko keselamatan (SRA) jentera adalah perlu sebelum pesawat diberi kelulusan kembali berkhidmat (RTS) demi melindungi keselamatan nyawa ramai penumpang.

Pihak operator perlu menyerahkan laporan SRA kepada CAAM bersama pertimbangan justifikasi teknikal yang lain sebagai bukti pesawat itu selamat sebelum kebenaran RTS diberikan.

Armada pesawat syarikat terbabit mungkin boleh diterbangkan secara berperingkat bagi memenuhi keperluan operasi dan untuk pemeriksaan teknikal dapat dilakukan secara lebih teliti.

Ini bagi memastikan pesawat bebas isu kebocoran tangki minyak dan sistem pengudaraan dalaman yang boleh menjejaskan kelajuan dan mengganggu kelancaran di angkasa. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.