PASIR PUTEH: Penampilan basikal klasik buatan England yang berusia lebih 120 tahun mencuri tumpuan ramai dalam program kayuhan santai sempena Hari Sukan Negara di sini semalam.
Pemiliknya, Shaari Awang Ali, 63, memberitahu, basikal jenama Don Master itu pernah digunakan askar Punjab yang ditugaskan di Tanah Melayu pada zaman kolonial tentera British suatu ketika dulu.
Kata Penasihat Kelab Basikal Tua Kelantan itu, basikal tersebut dihadiahkan seorang kenalan kira-kira 15 tahun lalu dan dia pernah ditawarkan RM5,000 oleh individu yang berminat mahu membelinya namun tidak berhasrat melepaskannya.
“Ia ada nilai sentimental tersendiri dan menjadi nadi yang menghidupkan Kelab Basikal Tua Kelantan pada kaca mata umum,” katanya yang sudah 30 tahun berusaha mencari dan mengumpul basikal klasik.
Program anjuran Kelab Basikal Tua Kelantan itu bermula di Dataran Tok Janggut, di sini membabitkan 30 basikal lama dan merupakan aktiviti pertama kelab itu selepas kelonggaran beriadah diberikan oleh kerajaan.
Shaari dalam pada itu berkata, kebanyakan ahli kelab memiliki satu hingga lima basikal berusia antara 50 hingga lebih 100 tahun yang masing-masing ada sejarahnya tersendiri.
Dalam program semalam, dia mengeluarkan semua basikal lama dalam koleksinya seperti Humber, Raleigh, BSA dan Don Master untuk tontonan umum.
“Hari ini amat bermakna buat kami kerana berpeluang mengayuh basikal tua sejauh sembilan kilometer selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa dengan syarat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










