KUALA LUMPUR: Mungkinkah penantian kira-kira 23,000 doktor kontrak mengenai sistem lebih telus berhubung lantikan mereka dalam kerajaan akan berakhir selepas pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat esok?
Dalam sidang akhbar khas bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 21 Oktober lalu, beliau berkata, akan ada ‘berita’ melibatkan masa depan doktor kontrak selepas pengumuman bajet itu nanti.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah juga dilaporkan telah mengemukakan kaedah pelantikan baharu doktor kontrak kepada Khairy selain baharu sahaja bermesyuarat dengan Kementerian Kewangan malah bersedia memberi input dalam ucapan bajet tersebut.
Justeru, doktor lantikan kontrak berharap peruntukan dan pelantikan mereka selaras dengan Bajet 2022 dapat meleraikan segala masalah dihadapi mereka yang sudah berkhidmat dengan kerajaan secara kontrak sejak 2016.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, doktor kontrak, Dr. Mohd. Khairul Azhar berkata, beliau menggesa kerajaan menambah perjawatan pegawai perubatan gred UD43 dan UD44 mengikut bilangan sewajarnya selain gred UD41 dinaikkan pangkat setelah diserap ke dalam perkhidmatan.
Katanya, emolumen yang setara dengan doktor lantikan tetap wajar diberikan dengan perolehan manfaat merangkumi cuti khas perubatan, cuti tanpa rekod untuk peperiksaan, cuti sakit atau kemalangan dan peluang mendapat Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).
“Saya meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan untuk mencari jalan keluar bagi masalah ini demi keharmonian fraterniti perubatan dan doktor-doktor junior seperti kami,” katanya ketika dihubungi semalam.
Gerakan Hartal Doktor di seluruh negara sebelum ini terpaksa mengambil tindakan drastik untuk tidak bekerja pada 26 Julai lalu akibat kegagalan kerajaan memenuhi tuntutan menawarkan pelantikan tetap kepada semua doktor kontrak sedia ada selain menjelaskan kriteria lantikan tetap secara terperinci. – UTUSAN ONLINE










