GEORGETOWN: Tiada ungkapan istimewa dapat diluahkan selain ucapan rindu yang semakin membara terhadap kedua-dua ibu bapa di kampung halaman setelah lebih dua tahun tidak bersua muka akibat pandemik Covid-19.
Itu hakikat yang dihadapi penuntut Ijazah Sarjana Arkeologi, Universiti Sains Malaysia (USM), Esnita Sonie, 27, yang sekian lama menanggung kerinduan terhadap insan yang dikasihinya itu.
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, dia kini hanya menghitung hari untung pulang ke kampung halamannya di Taman Semarak, Tawau, Sabah sebaik sahaja kebenaran merentas negeri diberikan kerajaan bermula hari ini.
“Sudah lama menanti perkhabaran baik ini, namun saya perlu mengumpul wang terlebih dahulu kerana harga tiket penerbangan pergi dan balik ke sana bukannya murah.
“Saya terpaksa menyimpan hasrat pulang ke Tawau buat seketika dan dijangka pulang pada Disember ini atau awal tahun depan. Bukan mudah untuk kami (penuntut) hendak pulang dalam kadar segera disebabkan faktor kewangan.
“Kali terakhir berjumpa ibu bapa adalah pada Hari Raya Aidilfitri 2019 dan sepatutnya saya pulang pada Disember tahun lalu, namun terpaksa dibatalkan saat akhir berikutan arahan larangan merentas negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beritahu Esnita, impiannya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama ibu bapanya tahun ini juga terkubur apabila rakyat negeri itu dikehendaki menjalani kuarantin selama dua minggu sekiranya pulang ke Sabah.
“Saya membuat keputusan tidak pulang beraya kerana cuti diberi hanya dua minggu dan memang tak sempat jumpa keluarga.
“Setiap hari saya akan menghubungi keluarga menerusi panggilan video dan inilah cara saya melepaskan rindu selain menangis meratapi wajah mereka yang disimpan di galeri telefon bimbit dan komputer riba,” ujarnya sebak.
Dalam pada itu, Esnita merayu syarikat penerbangan tambang murah di negara ini tidak menaikkan harga tiket perkhidmatan itu secara mendadak dan menetapkan pakej berbaloi untuk pelanggan terutama pelajar.
“Sebaik sahaja pengumuman kerajaan kelmarin, saya pantas meneliti harga tiket secara online, namun harganya didapati naik mendadak dalam tempoh 24 jam iaitu daripada RM600 bagi perjalanan dua hala Disember ini menjadi RM800 sehala,” tambahnya.
Sementara itu, seorang lagi anak perantau dari Bintulu, Sarawak, Hafiya Ajmin, 30, memberitahu, dia juga berdepan nasib sama apabila terpaksa menyimpan wang terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung halamannya..
“Gembira tak terkata setelah mendapat berita mengenai kebenaran merentas negeri. Bukan senang hendak pulang ke sana dan perlu membelajakan sekurang-kurangnya RM3,000 selama tempoh percutian dua minggu di sana.
“Saya perlu bantu ibu beli barang dapur, menampung perbelanjaan membeli barangan elektrik serta membaiki kelengkapan rumah yang rosak setelah tidak pulang lebih setahun,” jelasnya.
Kelmarin, kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada Keluarga Malaysia yang sudah lengkap divaksinasi untuk melakukan pergerakan rentas negeri berkuatkuasa semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan yang pergerakan itu boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM). -UTUSAN ONLINE