BATU PAHAT: Anak Orang Asli dari Kampung Kangkar Senangar di sini, yang meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru-baru ini memutuskan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Intan Nurhidayah Lim, 20, yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan STPM berkata, dia memilih universiti berkenaan kerana terdapat kursus diminatinya selain lokasi kampus terletak berhampiran kediaman keluarga.
Menurut gadis yang berasal daripada suku kaum Jakun itu, peluang untuk melangkah ke universiti itu tidak disia-siakan kerana selain ingin berjaya, anak bongsu ini juga mahu menjadi contoh terbaik kepada masyarakat Orang Asli.
“Saya berharap dapat menjadi pelajar UTHM yang cemerlang dalam banyak aspek sekali gus contoh teladan kepada anak-anak masyarakat Orang Asli untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam pelajaran.
“Sebelum ini saya sering mengikuti hal-hal yang berkaitan dengan UTHM antaranya tentang kursus yang ditawarkan serta aktiviti kesukarelaan dan khidmat masyarakat yang dianjurkan oleh warga kampus.
“Lama-lama saya semakin berminat dan terus memasang impian untuk menjadi salah seorang pelajar di universiti teknikal ini,” katanya di sini, semalam.
Intan Nurhidayah bersama seorang lagi pelajar UTHM, Nurul Humaira Aina Setia Jaya dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan antara 21 pelajar yang terpilih menerima bantuan pendidikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad hadir pada program Walkabout Sentuhan Kasih Mahasiswa @ KPT Prihatin kelmarin, di sekitar daerah ini.
Terdahulu, dua pelajar berkenaan menerima surat tawaran kemasukan sesi 2021/2022, wang pendahuluan pinjaman (WPP) daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), akaun SSPN dan biasiswa yang meliputi elaun wang saku, yuran pengajian, yuran penginapan dan tambang penerbangan. – UTUSAN ONLINE










