ISKANDAR PUTERI: Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) rakyat negara ini untuk menjadi pembuat dasar dan bukan sebaliknya menjadi pelacur politik mana-mana pihak.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sehubungan itu akta anti lompat parti mesti dibawakan dan dibincang dengan segera.
Katanya, hal itu agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lagi menjadi gelanggang menjual kerusi, menjual maruah dan menjual harga diri.
“Saya menekankan tadi bahawa kita adalah ‘lawmakers’, kita dipilih rakyat untuk membuat dasar penting untuk negara dan kita bukan pelacur politik.
“Sekarang tidak ada lagi permainan angka, yang penting kita syorkan supaya semua pihak bersetuju termasuk kerajaan untuk kemukakan Rang Undang-Undang lompat parti.
“Itu yang saya tekan supaya kestabilan (politik) dapat kita capai dalam tempoh terdekat ini dalam kita mendepani negara dan rakyat yang masih belum selesai memerangi pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Simpang Jeram berkata demikian ketika berbahas pada Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14, di Kota Iskandar hari ini.
Sementara itu, Salahuddin turut memberitahu pihaknya menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar wakil rakyat tidak menjadikan DUN sebagai sangkar beruk ketika persidangan.
“Sebagai wakil rakyat, kita perlu membantu dan mendekatkan diri dengan rakyat dalam usaha membendung pandemik ini.
“Kedua, kita harus berusaha untuk memulihkan ekonomi negara manakala dalam jangka masa pendek kita perlu menyantuni golongan B40 dan M40 yang terjejas,” tambahnya UTUSAN ONLINE