2 sindiket seludup minuman keras dan rokok lebih RM11 juta tumpas 

2 sindiket seludup minuman keras dan rokok lebih RM11 juta tumpas 

WAN Norizan Wan Daud (tengah) bersama barang rampasan kes melibatkan minuman keras dan rokok putih tak berkastam di Kompleks Kastam WPKL hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran minuman keras dan rokok putih disyaki tidak berkastam menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Pengarah Kastam WPKL, Wan Norizan Wan Daud berkata, serbuan pertama dilakukan pada 19 Ogos lalu kira-kira pukul 1.30 petang hasil risikan pegawai Bahagian Penguatkuasaan JKDM WPKL di sebuah gudang persendirian di Taman Prima Tropika, Seri Kembangan, Selangor.

“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 5,787 liter minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak berkastam dengan anggaran nilai dan cukai berjumlah RM921,769,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam WPKL di Kelana Jaya, hari ini.

Katanya, sebuah lori lima tan yang dipercayai digunakan bagi tujuan pembekalan minuman keras turur disita, manakala tiga warga asing berjaya ditahan.

Menurut Wan Norizan, pengimportan minuman keras memerlukan lesen import serta setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia seperti diperuntukkan di bawah Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.

“Modus operandi sindiket berkenaan ialah menjalankan pembungkusan semula dan pembekalan secara pukal di kawasan perindustrian serta tapak pembinaan bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan kedua pada 29 September lalu, pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM WPKL berjaya mematahkan aktiviti penyimpanan dan pembekalan rokok putih disyaki tidak berkastam di sebuah gudang persendirian di Jalan Subang Permai, Shah Alam.

“Hasil pemeriksaan menemukan 11.6 juta batang rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai RM2.32 juta serta jumlah duti dan cukai dianggarkan sebanyak RM7.88 juta,” katanya.

Wan Norizan berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan menyimpan dan mengedar rokok secara pukal di gudang tanpa tanda bagi mengelak dikesan pihak berkuasa

Tambahnya, seorang penjaga stor tempatan ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga 20 kali nilai barang atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Orang awam boleh menyalurkan maklumat melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat kastam terdekat. Identiti setiap pemberi maklumat dijamin dirahsiakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN