SHAH ALAM: Tindakan tegas akan dikenakan kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah di Selangor yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor akan menguruskan satu program vaksinasi khas pada hari dan masa yang ditetapkan.
Katanya, satu arahan rasmi secara bersurat akan dikeluarkan kepada semua individu berkenaan.
“Jika mereka gagal hadir, tindakan sewajarnya akan dimulakan mengikut peraturan yang ditetapkan.
“JAIS berharap individu berkenaan akan hadir pada tarikh yang ditetapkan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap segelintir rakyat Selangor yang menolak vaksin Covid-19 dan menyifatkannya sebagai satu usaha yang boleh menggagalkan usaha mencapai imuniti kelompok.
Seramai 562 orang di negeri ini dikenal pasti enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 walaupun kempen pemberian vaksin galak dianjurkan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri.
Daripada jumlah itu, dalam sektor pendidikan seramai 268 adalah guru sekolah kebangsaan, sekolah menengah (182) dan guru KAFA (95).
Bagi kategori guru KAFA, seramai 326 orang dikenal pasti belum menerima suntikan vaksin.
Sementara dalam sektor pengurusan agama Islam pula, seramai 17 orang dilapor enggan menerima vaksin mereka adalah pegawai masjid (11) serta jurunikah (6).
Mengulas lanjut, Mohd. Shahzihan berkata, pihaknya menjunjung titah Sultan Sharafuddin sebagai Ketua Agama Islam negeri.
“Baginda mahu memastikan kesejahteraan rakyat dapat direalisasikan dan berada pada tahap yang diharapkan.
“JAIS akan menggunakan fungsinya bagi memastikan sebarang usaha dan ikhtiar dapat dilaksanakan kerajaan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










