Tiada usul Undi18 di DUN Melaka - Utusan Malaysia

Tiada usul Undi18 di DUN Melaka

AB. RAUF Yusoh berucap pada Persidangan Pertama, Penggal Keempat, DUN Melaka ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak dua usul dan satu rang undang-undang (RUU) sahaja akan dibentang, disokong dan seterusnya dibahaskan dalam Persidangan Pertama, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, kali ini.

Yang Dipertua DUN, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memaklumkan, dua usul tersebut adalah ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam atas ucapan perasmian serta usul mengenai memperkukuhkan dan memperkasakan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah kepada masyarakat.

Beliau berkata, bagi RUU pula, kerajaan negeri akan membentangkan Enakmen Perbadanan Zon Ekonomi Pesisiran Pantai (Negeri Melaka) 2021.

Ini bermakna pindaan terhadap Perlembagaan Negeri Melaka untuk menurunkan umur pengundi kepada 18 tahun (Undi18) dan mengubah had umur minima kelayakan ahli dewan undangan negeri (ADUN) dari 21 tahun kepada 18 tahun, seperti dicadangkan Pemuda Amanah Melaka melalui memorandum yang diserahkan Jumaat lalu, tidak mendapat perhatian.

“Persidangan Pertama, Penggal Keempat, DUN ke-14 akan berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga 23 September 2021. Pada persidangan kali ini, sebanyak dua usul dan satu RUU akan dibentang, disokong dan dibahaskan.

“Seterusnya, seramai enam orang ahli yang berhormat telah dipilih untuk berucap semasa sesi ucapan penangguhan,” kata Ab. Rauf ketika berucap pada persidangan DUN di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, satu pindaan terhadap Perlembagaan Negeri Melaka perlu dibuat selari dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur pengundi kepada 18 tahun.

Pemuda Amanah negeri mendesak kerajaan negeri mengusulkan perkara itu dalam sesi persidangan DUN Melaka yang bermula hari ini.

Ketuanya, Muhammad Khomeini Kamal berkata, pihaknya juga mendesak kerajaan negeri untuk segera meminda Perkara 12 Perlembagaan Negeri Melaka bagi mengubah had umur minima kelayakan ADUN dari 21 tahun kepada 18 tahun.

Pindaan tersebut adalah selari dengan Seksyen 4 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019, malah pindaan untuk menurunkan umur kelayakan ADUN ini telahpun dilaksanakan di negeri-negeri lain seperti Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya