Siri realiti baharu ‘Bite Me Sweet’ tampilkan peserta Malaysia - Utusan Malaysia

Siri realiti baharu ‘Bite Me Sweet’ tampilkan peserta Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Platform penstriman Viu tampil dengan siri realiti makanan terbaharu berjudul Bite Me Sweet yang mula ditayangkan secara eksklusif sejak 17 April lalu di semua pasaran Viu, dengan penyertaan wakil dari Malaysia menjadi antara tumpuan utama.

Mewakili negara ialah Szu Lin, pembuat kek premium di sebalik LinLin Cake Shop yang dikenali menerusi rekaan kek kreatif dan eksklusif serta memiliki lebih setengah juta pengikut di media sosial.

Penyertaan Szu Lin dilihat membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa apabila bakal bersaing bersama cef pastri wanita terbaik dari Asia Tenggara dalam menghasilkan pencuci mulut berinspirasikan budaya makanan snek Korea.

Siri tersebut dihoskan pelakon Korea Selatan, Yoon Shi-yoon dan menghimpunkan lima cef pastri wanita dari Asia Tenggara bersama lima selebriti Korea Selatan iaitu Lee Sae-on, Sung Seung-ha, Cha Joo-wan, Bae Min-ki dan Lim Sung-kyu yang digandingkan dalam cabaran pencuci mulut.

Turut menyertai pertandingan itu ialah cef dari Hong Kong, Thailand dan Filipina yang masing-masing membawa identiti dan cita rasa tersendiri, sekali gus mencerminkan kepelbagaian dunia pencuci mulut Asia Tenggara masa kini.

Lebih daripada sekadar pertandingan memasak, Bite Me Sweet mengetengahkan gabungan inovasi kulinari dan gaya hidup visual menarik dengan menjadikan makanan sebagai ekspresi budaya dan emosi.

Siri itu turut menggabungkan elemen makanan, kecantikan serta fesyen, sekali gus menawarkan pengalaman tontonan lebih menyeluruh kepada penonton.

Pasukan yang menjuarai pertandingan tersebut bakal berpeluang membuka pop-up store Bite Me Sweet di Singapore, sekali gus membawa jenama itu dari skrin ke dunia nyata.

Diterbitkan oleh Studio CR, siri 10 episod itu menjadi antara penambahan terbaharu dalam portfolio kandungan realiti dan gaya hidup Viu yang semakin berkembang untuk penonton serantau dan global.

Siri ini juga merupakan sebahagian daripada kerjasama pelaburan antara Viu dan Korea Creative Content Agency susulan memorandum persefahaman yang dimeterai pada Ogos 2024, dengan fokus kepada pembangunan kandungan Korea premium yang digabungkan elemen Asia Tenggara serta berpotensi menembusi pasaran global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN