KHARTOUM: Satu serangan dron membedil sebuah lori bantuan di Darfur Utara, Sudan, memusnahkan semua bekalan di dalamnya, menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian(UNICEF) pada Ahad, tanpa mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Serangan dron oleh tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang terlibat dalam perang sengit sejak April 2023 semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, sering mengorbankan puluhan nyawa dalam satu masa.
Kenderaan yang dikendalikan oleh UNHCR itu diserang dron pada Jumaat ketika menghantar kit perlindungan kecemasan ke Tawila, yang menjadi tempat perlindungan lebih 700,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik di wilayah barat Darfur, menurut agensi itu.
Pemandu lori terselamat tanpa kecederaan, namun semua bekalan musnah dalam kebakaran yang berlaku, tambahnya.
UNHCR mengecam serangan tersebut dan memberi amaran ia akan menyebabkan 1,314 keluarga di Tawila hidup dalam keadaan terdesak tanpa tempat perlindungan ketika keperluan kemanusiaan sudah pun berada pada tahap kritikal.
Lebih 127,000 orang melarikan diri dari El-Fasher, ibu negeri Darfur Utara dan kubu terakhir tentera di wilayah itu, selepas ia jatuh ke tangan pasukan separa tentera pada Oktober, dengan laporan mengenai pembunuhan beramai-ramai, keganasan seksual, rompakan dan rogol selepas pengambilalihan tersebut.
Pertempuran sejak itu merebak ke wilayah jiran Kordofan, kini menjadi medan utama peperangan serta negeri Blue Nile di tenggara, sekali gus menimbulkan kebimbangan konflik akan berlarutan dan semakin berpecah.
Menurut PBB, hampir 700 orang awam terbunuh akibat serangan dron oleh kedua-dua pihak sejak Januari sahaja.
UNHCR menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan dron dan menyifatkan serangan berulang terhadap operasi kemanusiaan sebagai ‘amat keji’.
Berdasarkan penilaian oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian, seramai 28.9 juta orang atau kira-kira 62 peratus daripada penduduk Sudan kini berdepan kekurangan makanan akut.
Daripada jumlah itu, 10.2 juta menghadapi tahap kekurangan makanan yang teruk, khususnya di wilayah Darfur dan negeri Kordofan Selatan.
Kebuluran telah diisytiharkan tahun lalu di El-Fasher dan Kadugli, ibu negeri Kordofan Selatan, dengan 20 kawasan lain di Darfur dan Kordofan turut berisiko, menurut penilaian yang disokong PBB.
Konflik ini telah mengorbankan puluhan ribu nyawa, memaksa lebih 11 juta orang meninggalkan tempat tinggal, serta mencetuskan krisis perpindahan dan kebuluran terbesar di dunia.-AFP










