SOP masjid, surau di Kelantan dilonggarkan - Utusan Malaysia

SOP masjid, surau di Kelantan dilonggarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membenarkan seramai 40 jemaah untuk menunaikan solat fardu di semua masjid, surau dan musolla seluruh negeri ini berkuat kuasa esok.

Turut dibenarkan dengan bilangan jemaah yang sama bermula esok ialah solat Jumaat di masjid-masjid di seluruh negeri.

Kelonggaran itu menyaksikan prosedur operasi standard (SOP) ketat membabitkan masjid, surau dan musolla di Kelantan sejak 1 Jun lalu, iaitu hanya empat jemaah dibenarkan berbuat demikian, akhirnya ditamatkan.

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dalam pengumuman rasmi malam ini berkata, kebenaran itu diberikan kepada kakitangan masjid dan jemaah terpilih dengan syarat sudah lengkap dua dos vaksin.

TENGKU MOHAMAD RIZAM TENGKU ABDUL AZIZ

Selain itu kata beliau, para penerima vaksin jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac juga wajib melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua terlebih dahulu.

“Bagi penerima vaksin satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, mereka perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan.

“Kakitangan masjid dan jemaah yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka dan digalakkan memakai dua lapis pelitup muka,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan turut berpesan, pihak pengurusan perlu membuka semua pintu, tingkap serta kipas bagi memastikan sistem pengudaraan yang baik manakala penggunaan pendingin hawa tidak digalakkan.

“Masa aktiviti di dalam masjid dan surau perlu disingkatkan untuk aktiviti yang wajib sahaja iaitu satu jam sebelum solat Jumaat dan 30 minit bagi solat fardu.

“Pengurusan masjid dan surau perlu membuat penandaan antara jemaah dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter,” katanya.

Tambah beliau, ketetapan terbaharu berkaitan solat fardu dan Jumaat telah diperkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri seperti peruntukan Perkara 6 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya