JEMPOL: Bagi pasangan pengantin di daerah ini yang mencari lokasi fotografi bagi merakamkan kenangan, boleh menjadikan ‘Mutiara Classic’ sebagai salah satu pilihan.
Lokasi tersebut merupakan sebuah kediaman di sebuah taman perumahan di Taman Mutiara, Batu Kikir dekat sini namun uniknya ia menempatkan juga pelbagai barangan antik dan klasik sehingga menjadikannya seolah-olah sebuah muzium.
Menurut pemiliknya, Mohd. Noor Abdullah, 65, selepas dia menghabiskan banyak belanja untuk mengubah suai rumah dan minatnya terhadap barangan antik, sememangnya dia mahu menjadikan Mutiara Classic sebagai satu lokasi tarikan pelancong.
Kemudian, ujarnya, timbul pula idea untuk menjadikan rumahnya itu sebagai lokasi penggambaran fotografi kepada pasangan pengantin yang berminat.
“Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, pengantin memang sukar untuk merakamkan kenangan mereka, tidak boleh untuk menjalankan aktiviti bergambar di luar juga.
“Jadi timbul idea untuk jadikan rumah ini sebagai lokasi fotografi buat mereka. Alhamdulillah ia mendapat sambutan, kadang-kala mereka memberitahu tidak puas bergambar di dalam rumah ini, ditambah pula apabila turut menghidangkan air kopi dan kuih tradisional yang dibuat sendiri oleh isteri, Rubiah Abdul Hamid, 68,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mesra dipanggil Pak Uda, Mohd. Noor berkata, minatnya untuk mengumpul barangan antik timbul apabila dia pulang ke rumah arwah ibu dan bapanya selepas 30 tahun bekerja di Australia dan dia mendapati terdapat banyak barangan peninggalan seperti tempayan dan pinggan mangkuk yang sememangnya sukar didapati di pasaran.
“Bermula daripada menjadikan kesemua barangan itu sebagai hiasan rumah, sedikit demi sedikit saya dan isteri mula mengumpulkan pelbagai jenis barangan lama yang lain seperti telefon, penggosok baju, basikal dan lampu.
“Ada barangan yang saya beli daripada orang lain malah ada juga barangan yang orang lain buang, seperti koleksi beg kotak lama, orang buang dan kemudian saya bersihkan dan jadikan sebagai barang pameran.
“Ada juga barang hasil pemberian saudara mara dan kawan-kawan malah ada individu yang baru saya kenal turut memberikan barangan antik kerana dia tahu saya seorang pengumpul barangan ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohd. Noor berkata, rekaan ubah suai rumahnya iaitu berasas daripada batu ini kepada kayu adalah hasil ilhamnya sendiri dengan tempahan khas daripada tukang kayu.
“Dinding rumah ini saya gunakan semula daripada rumah kayu lama di kampung, jadi kalau sesiapa masuk ke rumah ini mereka memang tidak akan rasa seperti berada dalam sebuah rumah taman perumahan biasa,” katanya lagi.- UTUSAN ONLINE