RMK-12 mesti jamin masa depan - Utusan Malaysia

RMK-12 mesti jamin masa depan

sungai baru
JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang projek infrastruktur membabitkan jaminan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) mesti mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi untuk lima tahun akan datang.

Datuk Seri Johari Ghani berkata, semua projek yang tidak dirancang atau sebahagian daripada RMK-12 tidak harus dipertimbangkan jika ia tidak diperlukan.

Katanya, kerajaan mesti telus dalam perbelanjaan luar belanjawan termasuk jaminan hutang bagi mengelak hutang dan liabiliti kerajaan melonjak kepada tahap tidak terkawal dan memburukkan lagi kedudukan fiskal ketika ini.

“Dengan hutang kerajaan mencecah RM958 bilion atau 61.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terma­suk jaminan hutang sebanyak RM300 bilion bon terbitan Danainfra, Prasarana, tidak diketahui bagaimana kerajaan akan membiaya ratusan bilion per­belanjaan pembangunan untuk lima tahun akan datang tanpa meningkatkan had hutang sta­tutori setiap tahun,” kata bekas Menteri Kewangan Kedua itu kepada Utusan Malaysia semalam.

Katanya, RMK-12 sangat pen­ting untuk pembangunan negara dalam tempoh lima tahun kerana kesan pandemik Co­vid-19 dan kewangan terhad.

“Kerajaan mesti belajar daripada pandemik dan memfokuskan kepada meningkatkan keupayaan sistem kesihatan kerana Covid-19 telah mendedahkan kekurangan sistem kesihatan kita dalam menghadapi pandemik seperti Covid-19.

Mengikut data Bank Dunia, perbelanjaan kesihatan Malaysia ketinggalan berbanding purata 3.8% KDNK di kalangan negara pendapatan pertengahan.

“Perbelanjaan kesihatan awam Malaysia hanya 2% daripada KDNK,” katanya sambil menambah Covid-19 juga mendedahkan risiko negara dalam keselamatan makanan.

“Jika negara lain berhenti mengeksport makanan penting seperti beras, tepung, gula, jagung dan komoditi makanan lain bagi melindungi keperluan mereka, ia meletakkan negara pengimport seperti Malaysia berisiko kekurangan makanan.

“Dengan import makanan mencecah RM55.5 billion tahun lalu dan meningkat setiap tahun, kerajaan harus meningkatkan pengeluaran dalaman dan mengurangkan kebergantungan kepada import.

“Ini memerlukan perancangan strategik oleh kementerian berkaitan dalam keselamatan makananan,” kata Johari.

Beliau mencadangkan pe­laburan berbalik di negara asing bagi tanaman makanan yang akan diimport bagi melindungi sumber bekalan makanan negara.

Johari berkata, dalam RMK-12, kerajaan harus memikirkan penggunaan teknologi tinggi, kejuruteraan bertepatan dan konsep lestari dengan pelaburan perlu diperuntukkan kerajaan.

“RMK-12 bukan mengenai infrastruktur fizikal tetapi menjamin masa depan Malaysia pasca pandemik. RMK-12 dibentangkan lewat setahun kerana darurat dan penggantungan Parlimen,” katanya yang berharap rancangan itu dapat memberi tumpuan jelas bagi merangka belanjawan 2022.

“Ini sangat penting bagi meningkatkan keyakinan pelabur yang berkurang sejak beberapa tahun seperti dilihat dalam pengurangan pelaburan langsung asing dan ketinggalan berban­ding Indonesia dan Vietnam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya