Scammer palsukan kepala surat MITI perdaya orang ramai

Scammer palsukan kepala surat MITI perdaya orang ramai

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terpedaya dengan surat palsu yang menyalahgunakan nama kementerian tersebut bagi tujuan meminta bayaran atau deposit kononnya untuk pelaburan.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang surat sedemikian dan orang ramai diminta sentiasa berwaspada terhadap penipuan seumpama itu.

Katanya, taktik terbaharu itu dikesan selepas seorang individu tampil bertemu dengannya sambil membawa satu dokumen  untuk disahkan.

“Saya nak maklumkan terdapat surat yang telah diedarkan kepada orang awam, ini salah satu yang datang berjumpa dengan saya di rumah terbuka ini.

“Dia telah menggunakan surat `letter head’ Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri sedang memperdaya masyarakat kononnya mereka telah mendapat RM80,000 pulangan pelaburan. Maka dia suruh masuk RM3,000 untuk dapat RM80,000.

“Saya nak maklumkan, berhati-hati sebab ini adalah satu scammer yang sangat besar, jadi kena jaga jaga supaya tidak kena tipu,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Penggunaan nama kementerian serta tandatangan palsu dalam dokumen tersebut merupakan cubaan serius untuk meyakinkan mangsa agar mempercayai skim berkenaan.

Sehubungan itu, Johari mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang bayaran atau berkongsi maklumat peribadi sekiranya menerima tawaran pelaburan yang meragukan.

Dalam masa sama, beliau menggesa mana-mana pihak yang menerima dokumen tersebut segera membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan lanjut diambil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN