KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju untuk menangguhkan pemindahan penjaja di Lorong Haji Hussein, Chow Kit ke Kompleks Pasar Raja Bot sehingga kompleks berkenaan siap sepenuhnya.
DBKL berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, penangguhan itu juga mengambil kira kepentingan semua pihak terlibat termasuk kelangsungan ekonomi penjaja di kawasan berkenaan.
“DBKL akan terus memastikan sebarang perancangan penambahbaikan di kawasan tersebut dilaksanakan secara teratur dan inklusif, dengan mengambil kira kepentingan serta kebajikan penjaja.
“Pada masa sama, DBKL kekal komited memastikan keseimbangan antara pembangunan bandar, kebersihan persekitaran dan kesejahteraan warga kota,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 17 Februari lalu, seramai 34 pemilik premis di kawasan Lorong Haji Hussien Tiga, Chow Kit, memohon supaya arahan pemindahan mereka ke Kompleks Raja Bot ditangguhkan sehingga projek pembangunan pasar berkenaan siap sepenuhnya.
Permohonan itu dibuat susulan kebimbangan peniaga terhadap pembangunan keseluruhan kompleks yang masih tertangguh, sekali gus menyebabkan ketiadaan pelanggan di lokasi baharu terbabit. – UTUSAN










